JASIN: Pengurusan pasar mini KK Mart di sini dikesan dengan sengaja menggunakan gambar Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tanpa persetujuan, di beberapa premis perniagaannya sejak beberapa hari lalu.
Menurut Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata beliau sudah menghubungi Ab Rauf berhubung perkara itu bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara berkenaan.
“Saya sudah disahkan sendiri oleh Ketua Menteri bahawa penggunaan gambarnya pada kain rentang Jualan Ihsan Rahman Berkat, Tahun Melawat Melaka 2024 itu mungkin sengaja dipasang untuk menarik pelanggan ke premis mereka.
“KK Mart yang diselubungi kontroversi penjualan stoking tertera kalimah Allah sudah memasang banner yang salah. Kami (Pemuda UMNO) sebenarnya mahu mereka gantung kain rentang memohon maaf, tapi kain rentang lain pula yang mereka gantung.
“Justeru, kita minta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang sedia ada,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, dalam kenyataan di Facebook, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan EXCO Melaka menyiarkan tindakan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menanggalkan kain rentang di sebuah pasar mini KK Mart di kawasan bandar Melaka.
Difahamkan, kain rentang berkenaan dipasang tanpa permit yang dikeluarkan PBT selain menggunakan gambar pemimpin tanpa kebenaran.
Beberapa KK Mart turut menggantung kain rentang yang sama, termasuk di Bandar Baru Merlimau Utara, di sini.
Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin ketika ini menjalankan kempen boikot terhadap KK Mart di seluruh negara susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Isu stoking tertera kalimah Allah, pendakwaan dibuat esok
- Stoking kalimah Allah: Kerajaan Selangor panggil pengurusan KK Super Mart
- KK Mart Jementah diarah tutup serta merta kerana tak asing minuman keras
- Shuib sedia undur diri sebagai duta KK Super Mart