DUNGUN: Kekurangan bekalan gula satu kilogram di Terengganu sejak minggu lalu menyebabkan orang ramai terpaksa beralih kepada sumber alternatif termasuk gula halus.
Tidak terkecuali, peniaga makanan khususnya pemilik restoran yang merungut ekoran sukar mendapatkan bekalan itu.
Tinjauan di beberapa restoran di Bandar Paka, Dungun mendapati peniaga menggunakan gula halus yang kebiasaannya digunakan dalam pembuatan kuih bagi menyediakan makanan dan minuman pelanggan mereka.
Dakwa peniaga, mereka tiada pilihan lain susulan kesukaran mendapatkan bekalan gula di kedai dan pasaraya setempat.
Situasi itu juga membebankan mereka yang terpaksa menanggung kenaikan kos susulan harga gula halus lebih mahal berbanding gula pasir.
“Kalau tak ada gula lepas ni memang payah sikit lah nak niaga, tak ada gula, kalau segi harga memang mahal gula buat kuih tu lah, kalau gula yang tu murah sikit lah,” kata peniaga, Nor Syaira Mohd Nazri.
“Sekarang ni makna kita gi cari ar mana – mana tempat yang kita biasa ambil barang tu, kalau tak ada juga terpaksa guna gula yang halus kecil tu, susah lah nak dapat sekarang ni gula, biasa dia tetap lah kalau time tak dok biasa boleh lah dua tiga kilo gitu lah,” kata Salmah Abdullah yang juga merupakan seorang peniaga.
Justeru, peniaga berharap isu kekurangan bekalan gula pasir dapat diselesaikan segera bagi mengelakkan mereka terus menanggung kerugian sekali gus turut menjejaskan pengguna.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menjelaskan, kekurangan bekalan gula satu kilogram itu disebabkan penutupan sementara kilang di dua negeri sempena Aidilfitri.
Kedua-dua kilang berkenaan bagaimanapun sudah beroperasi semula 25 April lalu dan bekalan gula akan diperoleh secara berperingkat melalui pemborong utama negeri terlibat.