AMPANG JAYA: Polis menyita empat motosikal kerana melakukan ubah suai ekzos dalam Op Cegah Kemalangan Jalan Raya dan Pencegahan Jenayah di sekitar kawasan lorong motorsikal di Lebuh raya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE), awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail operasi dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya bermula jam 12 tengah malam hingga 2 pagi.
“Operasi dijalankan bertujuan mengesan kesalahan lalulintas yang menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya khasnya dalam kalangan penunggang motorsikal di kawasan-kawasan yang berisiko kepada berlakunya kemalangan, ” ujarnya dalam satu kenyataan.
Operasi turut bertujuan melakukan pencegahan daripada berlakunya aktiviti jenayah.
Bagi empat motosikal disita masing-masing ditahan kerana melakukan pengubahsuaian pada struktur asal kenderaan.
Menurutnya, penunggang bersama-sama dengan kenderaan yang ditahan dibawa balik ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya untuk proses dokumentasi dan panggil pemilik.
Kesemua kenderaan tersebut disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan, (APJ 1987) dan Seksyen 6(4) akta yang sama.
Sejumlah 109 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu yang sah, LKM tamat tempoh, ubah suai struktur kenderaan, kesalahan nombor pendaftaran dan juga kesalahan-kesalahan lain.
Beliau dalam pada itu, menasihatkan semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motorsikal agar tidak melakukan sebarang pengubahsuaian pada mana-mana struktur asal kenderaan.
Ia susulan pengubahsuaian boleh menjadi punca kepada berlakunya kemalangan.