Tumpuan :
Nasional

‘Gummy Ball’ bernilai RM1,300 dirampas

Foto hiasan

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

SETIU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merampas gula-gula kenyal ‘gummy ball’ membabitkan nilai rampasan kira-kira RM1,300 di seluruh Terengganu sejak kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, operasi itu dijalankan susulan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Pulau Pinang akibat tercekik gula-gula itu pada Khamis lalu.

“Berdasarkan data yang kita ada hari ini, tiga daerah telah membuat rampasan iaitu Kuala Nerus, Marang, dan Hulu Terengganu dengan jumlah rampasan bernilai RM1,300,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Kanser Sedunia 2025 peringkat negeri Terengganu di Setiu, hari ini.

Katanya, tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan dilakukan setelah pemeriksaan mendapati produk itu melanggar keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.

Sementara itu, tinjauan di beberapa sekolah di sekitar Kuala Terengganu mendapati peniaga masih rancak berniaga di hadapan sekolah.

Mereka dilihat mengambil jalan pintas untuk melariskan jualan dengan menjual makanan ringan dan gula-gula yang tidak berkhasiat.

Tepat jam 1 tengah hari, ketika sesi persekolahan tamat, murid-murid dilihat menyerbu gerai bergerak berkenaan.

Dalam pada itu, Ibu bapa yang ditemui di pekarangan sekolah meluahkan kebimbangan terhadap penjualan makanan tidak berkhasiat itu.

Menurut Zanariah Ismail, anaknya sanggup menyimpan wang saku yang diberi untuk membeli makanan yang dijual di luar sekolah berbanding makanan di kantin.

“Saya cukup tegas dengan anak-anak supaya tidak berbuat demikian, tetapi di luar pengetahuan dan kawalan kita, mereka tetap membeli.

“Makanan yang dijual pelbagai jenis, memang langsung tiada khasiat. Saya mohon pihak berwajib memantau perkara ini,” ujarnya.

Jumaat lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang penjualan gula-gula terbabit termasuk di platform dalam talian.

Larangan itu dikuatkuasakan susulan kematian Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, akibat tercekik dua biji gula-gula berkenaan pada Khamis lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini