PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan produk gula-gula jenama Apple S mengandungi racun berjadual yang tidak berdaftar dengan kementerian.
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mendapati produk terbabit mengandungi sibutramine iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk mengawal selera makan.
Katanya, sibutramine adalah sebatian kimia yang bertindak di otak sebagai penyekat rasa lapar atau selera makan yang digunakan di dalam kebanyakan produk bagi tujuan menguruskan badan dan ubat terbabit tersenarai dalam bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM.
“Antara kesan sampingan sibutramine yang dilaporkan adalah gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju (tachycardia) walaupun dalam keadaan rehat.
“Selain daripada kesan sampingan yang serius, terdapat juga kesan sampingan yang ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya,” katanya.
KKM berkata, produk terbabit didapati tidak mematuhi keperluan pelabelan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985, antaranya tiada nama sebenar produk dalam Bahasa Malaysia serta tiada maklumat mengenai pengilang, pembungkus, pengedar, atau pemilik hak pengilangan dan pengimport.
Justeru, produk berkenaan tidak dibenarkan untuk diiklankan atau dijual mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk terbabit diarah untuk menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.
“Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan berkenaan,” katanya.
Orang ramai yang sedang menggunakan produk itu perlu menghentikan penggunaannya serta-merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.