Oleh: Kumaran Rajamoney
SUNGAI PETANI: Gudang penyimpanan barangan terpakai di sebuah kilang di Bukit Selambau, di sini yang terbakar lewat petang semalam dipercayai tidak mempunyai lesen untuk beroperasi bagi menjalankan kerja-kerja pengasingan dan peleburan sekerap logam.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam satu kenyataan memaklumkan dapatan itu berdasarkan siasatan awal yang dimulakan jabatan itu dengan merakam percakapan bersama pemilik tanah.
Jelas beliau, dua buah premis dipercayai digunakan bagi kerja pengasingan sekerap logam, dan dihantar ke premis ketiga bagi aktiviti peleburan.
“Premis-premis ini dipercayai menjalankan aktiviti memproses dan menyimpan buangan terpakai seperti asid, bateri terpakai, sisa elektronik dan sekerap logam. Aktiviti-aktiviti ini adalah tertakluk kepada Akta Kualiti Alam, Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.”
“Semakan rekod mendapati Kelulusan Laporan Pemilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) hanya pernah diluluskan oleh Jabatan ini pada 11 Jun 2020 bagi premis ketiga yang menjalankan proses pulihguna buangan-buangan terjadual.
Bagaimanapun premis itu tidak ada membuat sebarang permohonan lesen untuk beroperasi , selepas mendapat kelulusan EIA,” katanya.
Dua buah premis lain tidak pernah merujuk atau mendapat apa-apa kelulusan dari JAS dan disyaki beroperasi secara haram.
Aktiviti yang dijalankan ketiga-tiga premis itu katanya tertakluk kepada Aktiviti 14(b)(ii), Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Pemantauan kualiti udara 24 jam telah dilaksanakan oleh JAS Kedah bermula hari ini dengan menggunakan peralatan Grimm dan Cerex bagi memantau kualiti udara di lokasi kejadian dan bagi mengesan jika terdapat gas pencemar yang berbahaya.”
“Siasatan di kawasan terbakar akan diteruskan menggunakan dron dan persampelan akan dijalankan selepas kebenaran pihak bomba diperolehi bagi memasuki ruang yang telah terbakar,” tambahnya.