Oleh: Kadir Edison
BINTULU: Sebuah gudang penyimpanan papan partikel (chipboard) musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kebakaran yang berlaku sekitar jam 2 pagi itu memusnahkan keseluruhan struktur jenis tidak kekal gudang terbabit.
“Bomba menerima pangilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 2.13 pagi lalu mengarahkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu bersama dua jentera dan dibantu lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kidurong.
“Setibanya di lokasai kejadian, komander operasi melaporkan kebakaran membabitkan gudang penyimpanan chipboard dengan anggaran keluasan 10,000 kaki persegi.
“Anggota di lokasi mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan keseluruhan struktur tidak kekal gudang berkenaan,” ujarnya menerusi satu kenyataan.
Katanya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.