comscore
Tumpuan :
Nasional

Gudang simpan bahan kimia terbakar, dua lelaki melecur

Mangsa yang melecur akibat kebakaran di sebuah gudang penyimpanan bahan kimia di Taman Teknologi Malaysia. – Foto Ihsan Bomba

KUALA LUMPUR: Dua lelaki melecur akibat kebakaran di sebuah gudang penyimpanan bahan kimia di Taman Teknologi Malaysia, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 4.35 petang tadi.

“Seramai 14 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil termasuk daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati terdapat kebakaran membabitkan tempat penyimpanan bahan kimia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kebakaran itu turut membabitkan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 20 dan 25 tahun yang melecur sebanyak 50 peratus.

“Kedua-dua mangsa diberi rawatan awal dan dibawa ke hospital oleh pihak ambulans dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz,” katanya.

Menurutnya, keluasan kebakaran dalam kejadian ini dianggarkan 800 kaki persegi dan turut membabitkan kemusnahan kebakaran sebanyak 70 peratus.

“Kebakaran itu dapat dipadam sepenuhnya jam 5.17 petang tadi dan punca kebakaranmasih dalam siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini