Oleh: Selwam Arjunan
BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan sindiket menyeleweng barang kawalan dan bersubsidi di Permatang Batu, di sini, yang berlindung di sebalik gudang yang sentiasa ditutup.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Negeri, Mohd Suffian Mohd Abbas berkata pihaknya merampas 6,371 kilogram (kg) minyak masak, 18,100 kg gula pasir dan 1,100 kg tepung gandum bernilai RM80,500 dalam serbuan ke atas premis berkenaan, hari ini.
Katanya, risikan telah dijalankan kira-kira sebulan lalu sebelum serbuan dibuat sepasukan penguatkuasa pada jam 11 pagi tadi.
“Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, pintu masuk utama ke gudang terbabit sentiasa memaparkan tanda ‘cuti’ dan berkunci, namun didapati berlaku aktiviti keluar masuk kenderaan.
“Ketika serbuan dibuat, terdapat sebuah lori yang sudah diisi dengan bekalan minyak masak dan dipercayai bersedia untuk keluar membuat penghantaran.
“Lori terbabit turut disita menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM105,500,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, pemandu warga tempatan dan seorang pekerja wanita warga Filipina yang masing-masing berumur lingkungan 70-an dan 40-an ditahan untuk siasatan lanjut.
“Modus operandi yang digunakan ialah para pekerja akan menggunting minyak masak peket yang diperolehi daripada pemborong untuk diisi ke dalam tong ‘jerry can’ berkapasiti 17 kg dan dipercayai akan dijual kepada pihak industri dengan harga kira-kira RM80 sehingga RM90 bagi setiap tong.
“Untuk gula pula, mereka akan gunting pek satu kg gula yang akan dibungkus semula ke dalam guni dan akan dijual semula kepada pihak industri bagi mengaut untung lebih.
“Kami percaya kegiatan ini sudah berlanjutan sejak dua hingga tahun lalu dan kita akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti dalang di sebalik sindiket ini,” katanya.
Pekerja pembungkusan dipercayai turut membakar kesemua bungkusan plastik minyak masak, gula dan tepung di bahagian belakang gudang terbabit bertujuan untuk melupuskan bahan bukti.
Gudang berkenaan beroperasi menggunakan lesen sah dan KPDN sedang mengenal pasti pemilik gudang terbabit dan beberapa pekerja lain yang dipercayai sempat melarikan diri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan bekalan 1961 dan Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.