comscore
Tumpuan :
Nasional

Gudang persendirian, lokasi terpencil taktik sindiket seleweng diesel

Foto: NSTP

RAWANG: Serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah gudang di Jalan Tukang Besi di sini membongkar kegiatan sindiket penyelewengan diesel yang mengaut keuntungan dengan menjual barang kawalan itu pada harga dua kali ganda dari harga subsidi.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Sazali Mohamad berkata, modus operandi sindiket itu adalah menjalankan aktiviti pembekalan dan penyimpanan diesel bersubsidi di gudang persendirian terletak di kawasan terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Sazali menunjukkan antara barang yang disita pada sidang media mengenai sitaan terhadap barang kawalan berjadual yang disyaki minyak diesel bersubsidi di Jalan Tukang Besi, Rawang.- Foto: NSTP

Katanya, pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon 1 Tengah Unit 1 (Kuala Lumpur) membuat serbuan di gudang persendirian itu jam 9 malam, 5 Julai lalu.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, kami menemui beberapa tangki diesel, tiga tangki skid bersaiz 30,000 liter dan tiga lori bonded yang sudah diubah suai.

“Turut ditemui adalah peralatan pam minyak bagi tujuan penyelewengan diesel bersubsidi yang dianggarkan sebanyak 48,600 liter bernilai RM104,490 membabitkan cukai dan duti berjumlah RM19,920,” katanya ketika sidang media di gudang berkenaan di sini, hari ini.

Jelas beliau, sindiket terbabit dipercayai menjadikan gudang ini sebagai lokasi penyimpanan atau transit diesel kerana kedudukannya yang  jauh dari pandangan awam .

Mereka dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak awal tahun ini berdasarkan bukti ditemukan pasukan serbuan.

“Malah, sindiket ini juga dipercayai aktif menjalankan aktiviti penjualan diesel bersubsidi secara haram kepada pihak industri tempatan berdasarkan sumber risikan diperoleh.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, sindiket ini dipercayai membeli diesel bersubsidi untuk orang awam pada harga RM2.15 seliter sebelum dijual kepada pemain industri pada harga RM4 seliter berbanding harga ditetapkan untuk pihak industri iaitu sekitar RM5 seliter,” katanya.

Foto: NSTP

Siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengesan pemilikan atau kumpulan sindiket yang terbabit.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961.

Beliau  menggesa orang awam membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan kerana penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berhampiran di semua negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Loading...
Terkini