comscore
Tumpuan :
Nasional

Gubal Enakmen Pendaftaran Petani, sedia pangkalan data 

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Satu pangkalan data raya yang merekodkan dan mendaftarkan petani di negara ini akan disediakan bagi memudahkan penyaluran insentif kepada kumpulan berkenaan, termasuk mengelak ketirisan bantuan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Mesyuarat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan Exco-Exco Pertanian bersetuju cadangan untuk menggubal Enakmen Pendaftaran Petani bagi menyediakan pangkalan data raya tersebut.

“Melalui usaha ini, kerja-kerja untuk mengenal pasti bilangan sebenar petani yang terlibat dalam sektor pertanian dapat memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan dan insentif kepada mereka.

“Selain itu, ia juga dapat dijadikan rujukan semua pihak khususnya dalam merancang pembangunan sektor agromakanan serta mengelakkan berlaku ketirisan dalam pemberian bantuan kepada petani,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat yang diadakan secara hibrid semalam dipengerusikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin; Exco Pertanian dari 13 Negeri serta wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Sebanyak 11 pembentangan iaitu dua kertas pertimbangan dan sembilan kertas makluman menjadi agenda mesyuarat.

Antara kertas pertimbangan yang dibentangkan adalah mengenai cadangan pewujudan kawasan khusus pertanian organik di peringkat negeri selaras Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN2.0), Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 serta Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDGs).

Selain itu, mesyuarat mengambil maklum situasi bekalan beras dan benih padi negara serta status pelaksanaan Jualan Agro Madani selain keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara berhubung cadangan hasrat penubuhan Lembaga Perindustrian Nanas, Kelapa dan Durian yang dilihat dapat memperkukuh komoditi tersebut di peringkat global.

Tambah KPKM, kertas makluman berkenaan pelaksanaan Program Agropreneur Muda turut dibentangkan dalam mesyuarat tersebut sebagai usaha menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor agromakanan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini