Oleh: Baharuddin Mohamed
MELAKA: Pemuda UMNO Melaka memberi amaran kepada bekas pemain badminton negara, Bong Guang Yik agar tidak bermain ‘api’ dengan menyentuh sensitiviti agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini.
Naib Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan sedemikian tidak boleh diterima akal kerana secara jelas menghina Islam secara keseluruhannya.
“Bila disentuh soal agama dan bangsa itu perkara yang tidak boleh kita semua kompromi…sebab itu orang yang sebegini layak dipanggil bangsat.
“Kita akan membuat laporan polis terhadap bangsat ini agar tindakan undang-undang yang keras boleh diambil kepada puak pelampau ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil tindakan keras dan tegas terhadap Guang Yik.
“Mohon YAB Anwar Ibrahim dan YAB Zahid Hamidi untuk ambil tindakan yang keras dan tegas terhadap bangsat ini.
“Mereka yang jauh dari Merlimau juga boleh buat laporan polis di balai polis yang terdekat,” katanya.
Sebelum itu, tular di media sosial video Guang Yik yang mendakwa pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah teruk disebabkan diuruskan oleh kaum Melayu yang dianggapnya sebagai pemalas.
Beliau yang bercakap dalam bahasa Cina turut mendakwa, sembahyang yang dilakukan oleh umat Islam selama lima kali sehari menunjukkan kaum itu tidak mempunyai niat untuk menguruskan BAM.
Justeru, beliau mencadangkan agar pengurusan BAM ditukar kepada orang Cina.
Video itu didedahkan oleh seorang pengguna media sosial berketurunan Cina, Ah Boy Badminton di Twitter yang menterjemahkan ucapan Guang Yik.
Ah Boy menggesa Guang Yik supaya tidak bersikap rasis yang boleh mengganggu keamanan negara.