Tumpuan :
Nasional

Guan Eng Sahut Cabaran Saravanan

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menyahut cabaran daripada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, untuk melepaskan jawatan disandang sekarang sekiranya Ahli Parlimen Tapah itu boleh membuktikan dirinya tidak bersalah dalam krisis buruh negara.

Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menuntut Saravanan menetapkan tarikh cabaran berkenaan.

“Sebagai Pengerusi DAP, saya menerima cabaran Menteri Sumber Manusia, M Saravanan untuk meneliti dan mencari kelemahan dalam usaha beliau untuk mengatasi kekurangan pekerja yang teruk.

“Salah seorang daripada kami akan meletakkan jawatan jika kelemahan dapat atau tidak dapat ditemui.

“Saya akan menunggu Saravanan untuk menetapkan tarikh bagi menyahut cabaran Saravanan serta isu-isu kritikal dan kelemahan lain yang telah melambatkan pengambilan segera pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, Saravanan seolah-olah tidak berpuas hati apabila pernah membuat satu kenyataan seperti dilaporkan sebuah portal sewaktu di Pulau Pinang pada 13 September lalu.

Memetik kenyataan berkenaan, Saravanan sebagai berkata, “sekiranya dia (Lim) tidak dapat mencari apa-apa yang salah dengan cara kementerian menangani kekurangan pekerja, dia harus meletakkan jawatan serta-merta sebagai (pengerusi DAP). Jika dia menemui sesuatu yang salah, maka saya akan meletakkan jawatan.”

Menjawab kenyataan itu, Guan Eng membidas Saravanan kerana tidak sepatutnya cuba mengalih perhatian dengan melakukan serangan peribadi yang tidak berasas.

Katanya, Saravanan sepatutnya menangani dengan fakta dan angka susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh majikan berkaitan isu kekurnagna buruh asing yang teruk.

“Setakat ini Saravanan tidak menjawab mahupun memberi penjelasan berkenaan 12 peratus kadar kejayaannya yang menyedihkan dalam mendapatkan pekerja asing bagi memasuki Malaysia.

“Perkara ini bukan dibangkitkan oleh saya tetapi Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) yang menganggarkan hanya 47,000 pekerja asing telah memasuki Malaysia atau 12 peratus daripada 385,000 kelulusan sejak Januari 2022 bagi pekerja asing yang diluluskan untuk syarikat dalam semua sektor industri.

“Apa gunanya Saravanan mendakwa bahawa telah meluluskan sehingga 400,000 pekerja asing untuk menyertai tenaga kerja di sini, sedangkan mereka tidak boleh masuk ke negara ini? Ini adalah satu lagi sembang kosong oleh seorang menteri yang tidak cekap,” katanya.

Guan Eng yang memetik perangkaan MPOA berkata, industri minyak sawit memerlukan 120,000 pekerja asing manakala sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 pekerja dengan segera.

Ekoran isu kekurangan pekerja asing yang teruk, katanya ia mengakibatkan kerugian sebanyak RM33.5 bilion membabitkan industri sektor perladangan, sarung tangan getah dan industri alat ganti kenderaan sahaja.

“Bilakah ratusan ribu pekerja asing yang dijanjikan akan masuk ke negara ini? Kegagalan yang begitu teruk sebegini akan memberi kesan buruk kepada iklim pelaburan di negara ini,” katanya. – Berita Harian

Loading...
Terkini