Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Penubuhan Grid Tenaga Borneo yang diterajui Sarawak bakal melonjakkan kedudukan wilayah tersebut sebagai hab tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara, selari dengan matlamatnya untuk memainkan peranan dalam menangani isu perubahan iklim.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Sarawak yang lebih ke hadapan dalam aspek tenaga diperbaharui dan tenaga hijau berupaya menyediakan sumber yang mencukupi dan mampan untuk merealisasikan penubuhan grid berkenaan.
Katanya, ketika ini Sarawak menghasilkan 62 peratus penjanaan tenaganya daripada sumber tenaga boleh diperbaharui berbanding 24 peratus oleh Semenanjung Malaysia, khususnya membabitkan sumber daripada tenaga hidro.
Justeru, salah satu kaedah yang dipersetujui di peringkat persekutuan adalah untuk membantu wilayah Sarawak menjadi hab tenaga boleh diperbaharui dan hab hidrogen bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau Asia.
“Kita tingkatkan perhubungan di mana Sarawak nanti boleh membekalkan tenaga ke Semenanjung dan juga negeri-negeri lain. Jadi, dari segi dasar memang telah dipersetujui akan ada hubungan melalui kabel bawah laut untuk membekalkan tenaga di Semenanjung dan juga di Singapura.
“Yang ketiga, fokus kita di bawah ASEAN, di samping Grid Tenaga ASEAN, ialah untuk kita wujudkan Grid Tenaga Borneo. Maksudnya, Sarawak, Brunei, Sabah dan keseluruhan Kalimantan akan dihubungkan dengan grid tenaga itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan sambutan Tahun Baru Cina 2025 kepada warga emas dan orang kelainan upaya bagi Kawasan Matang Jaya, Kuching.
Pada Disember 2024 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa Malaysia menyasarkan untuk memberikan keutamaan kepada penubuhan Grid Tenaga ASEAN dan digitalisasi sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.
Usaha itu, katanya, merupakan antara inisiatif yang akan dipelopori oleh Malaysia untuk menyokong peningkatan perdagangan intra-ASEAN.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.