comscore
Tumpuan :
Nasional

Graduan maut digilis lori 20 hari sebelum konvokesyen

 

BATU PAHAT: Graduan Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA) maut digilis lori dalam kemalangan di Jalan Tanjung Laboh, Banang Jaya, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.35 pagi tadi ketika mangsa Asniza bt Adek@Che Ahmad menunggang motosikal dari rumah di Sri Merlong, Rengit ke tempat kerja di bandar ini.

Mangsa, lulusan kejuruteraan pembuatan meninggal dunia di tempat kejadian.

Allahyarham dijadual menghadiri konvokesyen pada 22 Oktober ini di UMPSA.

Ibu mangsa, Siti Yuana Janamin, 44, berkata Asniza, anak sulung daripada empat beradik seorang yang rajin, kental dan berdikari kerana akan mencari apa jua pekerjaan untuk menampung perbelanjaan harian.

Foto: NSTP

“Saya tak dapat rasa puas. Pertemuan kami dengan arwah terlalu singkat. Sejak di bangku sekolah menengah, arwah sentiasa berjauhan kerana dia menetap di asrama, sebelum menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Tangkak dan terakhir di UMPSA.

“Itulah yang membuatkan saya amat sedih apabila dikhabarkan dia sudah meninggalkan kami. Sedih kerana banyak kenangan kami bersama tapi saya perlu reda Allah lebih menyayanginya.

“Aku tak kuat. Aku tak sanggup ya Allah. Macam mana aku nak hadapi semua ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Adik mangsa, Admira, 23, berkata, pagi tadi kakaknya keluar rumah agak lewat kerana hujan.

“Kami beria-ria mahu menghadiri konvokesyen arwah di UMPSA. Arwah dah siap semua baju untuk dipakai nanti.

“Arwah kakak juga bekas Palapes Tentera Udara Diraja Malaysia yang baru tamat latihan bulan lalu. Dia cukup bangga dengan kejayaan dikecapi, walaupun berdepan pelbagai cabaran,” katanya.

Loading...
Terkini