KUALA LUMPUR: Grab Malaysia menafikan ada sebarang perjumpaan membabitkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun persatuan hari ini.
BH dalam laporannya berkata selain berkomunikasi secara langsung bersama pemandu dan penunggang, Grab masih belum menerima sebarang permintaan daripada persatuan luar atau pihak yang meminta penjelasan ataupun perjumpaan.
“Untuk mengekalkan ketelusan dan memupuk komuniti yang kukuh, kami terus komited untuk terlibat dalam komunikasi terbuka dengan rakan kongsi penghantaran kami.”
“Kami menghargai dan mengalu-alukan maklum balas dan cadangan berharga mereka, serta berdedikasi untuk menerima pandangan dalam usaha berterusan untuk meningkatkan pengalaman mereka (enhance their experience) di platform kami,” kata Grab.
Katanya lagi pada 16 Januari lalu, Grab telah mengemas kini struktur pendapatan rakan kongsi penghantarannya bagi menangani isu yang dihadapi berdasarkan maklum balas mereka mengenai lokasi pengambilan makanan yang jauh dan masa menunggu di kedai.
“Struktur baharu itu direka dengan tujuan untuk mengekalkan pendapatan yang stabil dan adil kepada mereka yang memerlukannya.”
“Kami melihat peningkatan yang mengalakkan dalam masa seminggu. Kira-kira 60 peratus daripada rakan kongsi kami yang aktif telah mendapat manfaat daripada struktur pendapatan baharu. Kami juga telah mengumumkan beberapa penambahbaikan untuk menjadikan insentif lebih mudah diakses oleh rakan kongsi penghantaran,” katanya.
Menurut Grab, pihaknya akan terus melabur untuk promosi kepada pengguna seperti melalui GrabUnlimited, HotDeals, Kombo Jimat, terutamanya semasa waktu puncak untuk merangsang permintaan dan memastikan peluang pendapatan yang konsisten untuk rakan kongsi penghantarannya.
Semalam, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) memaklumkan di Facebook bahawa Sekretariat Komuniti Gig Malaysia dan PENGHANTAR akan bertemu pihak pengurusan GrabFood Malaysia bagi mengadakan perbincangan lanjut berkaitan isu terkini, hari ini.
Hasil daripada perbincangan tersebut akan diumumkan selepas pertemuan diadakan.
BH telah cuba menghubungi PENGHANTAR bagi mendapatkan maklum balas mengenai hal tersebut tetapi masih belum mendapat maklum balas.