KUCHING: Sebuah kapal layar Rusia terkandas di beting pasir di Kuala Oya dekat Mukah selepas dibadai ombak besar dan ribut kencang, pada 6.30 petang semalam.
Kapal layar berkenaan yang dinaiki empat warga negara itu dalam pelayaran dari Filipina ke Kuching selepas persinggahan terakhir mereka di Labuan, tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat berkata, beliau menerima panggilan daripada orang awam pada 8 malam tadi memaklumkan ternampak kapal terkandas di beting pasir itu.
Katanya, susulan itu maklumat itu disalur kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Bintulu dan Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching, selain Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dalat.
Menurut Saga, pegawainya bersama beberapa anggota kemudian bergegas ke lokasi, namun tidak dapat mendekati kapal yang terkandas pada jarak kira-kira 100 meter dari pantai berikutan ombak kuat dan hujan lebat.
“Ketika polis meninjau dari Tapak Kaul Oya di pantai, mereka ternampak cahaya lampu di kapal berkenaan dan kru juga menyalakan suar berwarna merah sebagai isyarat meminta bantuan.
“Kira-kira 10 malam ketika hujan mulai reda, pasukan polis yang diketuai Inspektor Zulhilmi Panggis dengan bantuan penduduk kampung meredah hutan tepi pantai sejauh 300 meter untuk mendekati kapal bernama ‘Pilgrim’ itu dan mereka berjaya mengesan kesemua empat anak kapal dan nakhodanya selamat dan sedang berlindung di pantai,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan keterangan kapten kapal dikenali Sinelnik Sergei, alat navigasi Global Positioning System (GPS) kapal mereka rosak ketika melalui perairan Miri dan pada masa yang sama berhadapan keadaan laut bergelora.
“Mereka tersangkut di beting pasir Kuala Oya kerana tidak tahu kawasan dan laluan masuk ke Kuala Sungai Oya untuk berlindung.
“Selepas kapal terkandas, mereka keluar dari kapal menggunakan ‘life raft’ untuk mencari tempat perlindungan,” katanya.
Menurutnya lagi, kesemua kru kapal itu tidak memerlukan bantuan pihak polis, kerana mereka hanya menunggu air pasang bagi membolehkan keluar dari beting pasir.
“Namun mereka juga ada memohon bantuan kapal tunda untuk menarik kapal mereka dari beting pasir.
“Kesemua empat warga Rusia itu mempunyai dokumen dan pasport yang sah dan mereka memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis ketika ditemubual untuk mengetahui punca mereka terkandas di Kuala Oya itu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.