Tumpuan :
Gaya Hidup

Gotong-royong hapus tempat pembiakan jentik-jentik

JELEBU: Aktiviti gotong-royong sekali lagi terbukti kaedah terbaik mencegah wabak denggi.

Terbaharu, ia dilakukan penduduk Taman Bukit Kempas di sini, bersama 12 agensi kerajaan.

Hasilnya, kawasan berkenaan menjadi lebih bersih dan kemas serta sedap mata memandang.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir sejak 28 Disember lalu sebanyak 15 kes demam denggi dilaporkan di taman perumahan berkenaan.

Katanya, ia sesuatu yang sangat serius dan menakutkan apatah lagi apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyenaraikan Taman Bukit Kempas sebagai lokasi panas wabak denggi.

Penguat Kuasa Pejabat Kesihatan Daerah turut mengeluarkan 12 saman pada Disember, Januari dan Februari kepada penduduk berikutan ada pembiakan jentik-jentik di kediaman masing-masing.

Pengerusi KRT Taman Bukit Kempas Yusnizam Yusran menunjukkan kolam di loji kumbahan yang didakwa penduduk turut menjadi tempat pembiakan nyamuk.- Foto: NSTP

“Yang menjadi masalah, ada diantara mereka datang ke pejabat saya meminta bantuan untuk melunaskan saman diterima sedangkan itu adalah kesalahan sendiri. Selepas ini, saya berharap penduduk dapat menjaga kebersihan dikediaman masing-masing dan berpegang kembali kepada ajaran Islam, kebersihan sebahagian daripada iman,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bakri berkata gotong-royong dilakukan hanya pelan tindakan sementara sedangkan penjagaan kebersihan secara berterusan perlu diamalkan sepanjang masa.

Sementara itu Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan, Yusnizam Yusran berkata kes demam denggi di taman ini dalam jumlah yang banyak pertama kali berlaku.

Katanya kebiasaan hanya satu kes dilaporkan pada satu atau dua bulan namun 15 kes dalam tempoh 44 hari sangat membimbangkan.

“Sejak kes dilaporkan pelbagai usaha dilakukan pihak pejabat kesihatan termasuk melakukan semburan thermal malah penguatkuasa kesihatan turut melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah termasuk memeriksa di dalam rumah penduduk.”

“Selain rumah penduduk, agensi berkaitan perlu memeriksa kolam takungan dan loji kumbahan disebabkan ada penduduk mendakwa loji kumbahan IWK turut didakwa menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya.

Berdasarkan portal idengue.mysa.gov.my lokaliti hotspot bermaksud kawasan wabak berpanjangan melebihi 30 hari dan Taman Bukit Kempas berada di nombor 14 dalam senarai hotspot.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini