comscore
Tumpuan :
Nasional

Golongan muda perlu tekad, bantu selamatkan negara dari pimpinan punggah kekayaan negara

Datuk Seri Anwar hadir pada syarahan, Za’ba – Seabad Pemikir Kemiskinan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, hari ini.

Oleh: Kumaran Rajamoney

TANJUNG MALIM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan muda untuk membina tekad menyelamatkan bangsa dan negara, dengan menolak amalan tadbir urus yang menggunakan kedudukan bagi memperkayakan diri dan keluarga.

Tegas beliau, hasrat pemikir bangsa, Tan Sri Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba untuk melihat pembasmian kemiskinan harta dan intelek tidak mungkin tercapai sekiranya generasi muda gagal membawa anjakan ke arah kebaikan.

Ini termasuk dengan berpegang kepada sentimen bahawa pimpinan yang mempunyai jasa tidak diambil tindakan, meskipun melakukan kepincangan tatakelola yang membentuk ketirisan dana kerajaan.

“Bayangkan kita ambil sikap tegas, siapa yang punggah kekayaan berbillion diambil tindakan tanpa mempedulikan alasan politik bahawa individu itu perlu dikasihani atas sumbangan dan jasanya. Siapa yang tiada jasa? Ketua kampung, penghulu dan imam juga ada jasa.

“Kalau betul kamu pejuang tulen, serahkan semula wang yang kamu curi itu kepada rakyat dan negara,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan MADANI terus mempertahankan komitmennya untuk membasmi kemiskinan menerusi amalan tatakelola yang baik.

“Kita membelanjakan dana paling tinggi di Asia untuk membantu orang miskin, iaitu RM22 billion setahun. Kerajaan bersilih ganti, begitu juga Perdana Menteri dan parti politik tetapi masalah ini masih berat.

“Negara lingkup bila Perdana Menteri menggunakan kuasa memperkaya diri, isteri dan anak. Sebab itu pimpinan universiti, jabatan atau kampung  jangan sesekali tolak ansur dari memerangi rasuah dan salah guna kuasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada syarahan, Za’ba – Seabad Pemikir Kemiskinan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, hari ini.

Pada program itu, Perdana Menteri turut meluncurkan Kempen Guru Bangsa dan Hari Akademia Negara 2024.

Allahyarham Za’ba turut dianugerahkan Tokoh Akademia Negara Sepanjang Zaman, yang diterima cucunya, Sharzede Datuk Salleh Askor.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chan Lih Kang dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini