comscore
Tumpuan :
Nasional

Golongan elit obses Bahasa Inggeris, jangan pertikai kedudukan Bahasa Kebangsaan – PM

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Golongan elit yang mempunyai obses keterlaluan terhadap Bahasa Inggeris diseru agar tidak sesekali memperlekeh Bahasa Melayu, yang mewakili hasrat dan aspirasi keseluruhan masyarakat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahasa kebangsaan tidak boleh diremehkan dengan gambaran kepintaran seseorang hanya boleh diterjemahkan menerusi penguasaan dalam Bahasa Inggeris.

“Mereka mungkin dibesarkan di London tetapi bila hidup di Malaysia, mereka mesti mewakili hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia keseluruhannya.”

“Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, semua negeri perlu ambil pendirian menolak pertelingkahan dan menunjukkan iltizam memperkasa bahasa kebangsaan yang menjadi lingua franca rakyat. Saya beri penegasan ini sebab ia tidak lari dari prinsip dalam negara MADANI,” katanya.

Dalam masa sama, sektor swasta dan sekolah vernakular turut dinasihat untuk memberikan keutamaan kepada bahasa kebangsaan, tanpa melemahkan penguasaan dalam bahasa lain.

“Tidak harus timbul kekeliruan. Keperluan bahasa lain tetap ada samada ianya bahasa ibunda atau bahasa negara dunia, namun penekanan penguasaan Bahasa Melayu adalah sangat perlu.”

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Sasterawan Negara, Dr Zurinah Hassan dan Datuk Rahman Shaari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini