Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Golongan muda tidak lagi berminat untuk menjadi sukarelawan Askar Wataniah.
Golongan sasar lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak mendatangkan faedah atau lebih tepat banyak masa terbuang melayani media sosial.
Malah mereka mungkin juga berasa takut untuk menjalani latihan asas ketenteraan.
Menurut Kapten Wan Mohd Yusof Wan Afendi dari Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin di Kuala Terengganu, hanya sekitar 50 orang saja yang mendaftar menjadi sukarelawan dalam masa setahun berbanding sekitar 200 hingga 400 orang, sepuluh tahun lalu.
Berikutan itu, pihaknya terpaksa turun padang membuat promosi bagi merekrut anggota baru.
Katanya lagi, banyak kelebihan bagi orang awam yang menyertai sukarelawan Askar Wataniah.
Antara kelebihannya, mereka akan menerima pelbagai elaun antaranya elaun latihan tempatan, elaun latihan berterusan dan elaun perjalanan.
Selain itu mereka juga diberi uniform dan makan minum percuma sepanjang menjalani latihan.
“Latihan tentera tidaklah seteruk yang dibayangkan oleh golongan muda. Bahkan sepanjang latihan mereka akan rasa seronok kerana selain dapat meningkatkan stamina, mereka juga akan mendapat kenalan baru”.
“Rasa penat itu hanya sekejap tetapi selepas habis latihan banyak aktiviti santai boleh dibuat. Setakat ini belum ada lagi kes pelatih meninggal dunia dalam latihan”, ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membuat promosi bagi merekrut sukarelawan baru di Kuala Terengganu.
Bagi ibu tunggal, Lans Koperal Marsiti Abdul Ghafar, 44 tahun, minat kepada pasukan berunifom sejak kecil mendorongnya menyertai sukarelawan askar Wataniah walaupun dalam usia yang agak lewat.
“Saya kahwin muda dan sekarang sudah menjadi ibu tunggal. Saya ambil peluang ini sebab tiada aktiviti di rumah kerana anak sudah besar. Sangat seronok dapat menjadi sukarelawan Wataniah”.
Sementara itu, bagi seorang tukang jahit, Lans Koperal Hidayah Embong, 31 tahun, selain dapat mendisiplinkan diri, menjadi sukarelawan Askar Wataniah juga dapat menambah pendapatan keluarga”.
“Belia yang lain datanglah sertai kami sebab banyak pengalaman baharu diperolehi selain gembira kerana dapat elaun yang tinggi selain dapat mendisiplinkan diri”.
Mereka yang berumur 18 hingga 40 tahun yang berminat untuk menyertai sukarelawan askar Wataniah boleh mendaftar di mana mana Kem Askar Wataniah berdekatan.