KUALA TERENGGANU: Golongan belia yang berkecimpung dalam sektor perladangan digalakkan menceburi bidang penyelidikan untuk memanfaatkan kemajuan teknologi mekanisasi dan automasi dalam sektor tersebut. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata hasil penyelidikan itu belia dapat mengendalikan teknologi sedia ada dan berupaya mencipta teknologi baharu.
“Melatih belia kita melalui TVET seperti bagaimana menggunakan mesin, bagaimana automasi di bidang perladangan, dalam masa yang sama mereka digalak terlibat dalam penyelidikan.
Mereka bukan saja menggunakan mesin malah mencipta mesin yang sesuai diguna dalam sektor perladangan tak kiralah kelapa sawit, getah dan sebagainya dan kalau dapat dimodenkan ia akan dapat tingkatkan produktiviti selain pendapatan mereka juga bertambah”, katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Sembang Santai bersama Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini malam tadi. Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata setakat ini pembabitan golongan muda dalam sektor perladangan masih rendah menyebabkan negara bergantung kepada pekerja asing.
Katanya, belia juga boleh mendapatkan latihan lanjut di Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) serta sektor perladangan yang berkaitan dengannya seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).