Tumpuan :
Nasional

GLC jangan menyimpang dari matlamat asal tingkat ekonomi bumiputera, masyarakat – PM

Oleh: Kumaran Rajamoney

BERTAM: Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) perlu diuruskan dengan cekap tanpa melupakan matlamat asal penubuhannya dengan tumpuan terarah kepada paksi kepentingan bumiputera dan masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan banyak GLC kini telah beralih kepada soal keuntungan, kesan daripada perubahan pengurusan dan faktor-faktor lain.

“Sekembalinya saya dalam pentadbiran kerajaan, saya sedar adanya peralihan matlamat ini. Justeru saya minta agar pengurusan mengusahakan agar syarikat kembali kepada matlamat asal bagi menyelamatkan ekonomi bumiputera.”

“Sebelum ini, bila kerugian bertambah, maka aset dijual. Maka, ia mula melalui proses untuk diselamatkan oleh kerajaan dan sebagainya. Semua ini berganjak dari matlamat asal kerana syarikat diuruskan dengan lemah.”

Tambah Perdana Menteri, Permodalan Nasional Berhad (PNB) misalnya menjadi antara insitusi yang berjaya memperkukuh kekuatan ekonomi bumiputera dan masyarakat Malaysia.

Justeru, kecemerlangan PNB katanya wajar diperkemas dengan penyaluran ilmu menabung kepada golongan muda menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Saya cadangkan agar kerjasama PNB dan kementerian berkaitan diperluas dengan memberikan latihan kepada guru misalnya. Usaha ini akan memberikan pencerahan dan tanggungjawab kesedaran tambahan di peringkat sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).”

“Usaha ini penting kerana tabiat menyimpan dan menabung ketika ini dilakukan mengikut propaganda dan bukan kekuatan syarikat itu sendiri,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Setia Fontaines Bandar Bertam di sini. – FOTO: NSTP

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, dan Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

MSAM 2023 yang memasuki Edisi ke-22 penganjuran bermula pada 30 September hingga 8 Oktober ini di Setia Fontaines, Bertam Pulau Pinang.

Penganjuran MSAM kali ini merupakan karnival literasi kewangan terbesar dengan penyertaan oleh 50 pempamer.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini