JOHOR BAHRU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta sama-sama berganding bahu membantu mangsa banjir terjejas yang melanda sembilan negeri, ketika ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan mengambil berat dan simpati terhadap mangsa bencana banjir seluruh negara yang kini sudah melebihi angka 100,000.
“Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meninjau keadaan di Kelantan dan hari ini di Terengganu.
“Minggu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan ke Pantai Timur untuk meninjau sendiri keadaan banjir dan salurkan bantuan.
“Kerajaan memang salurkan dana bantuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk bantu mangsa banjir yang terkesan. Insya Allah, kita akan bantu jika ada isu berbangkit.
“Saya juga sudah minta pertolongan dari GLC di bawah Kementerian Kewangan supaya berganding bahu membantu mangsa banjir yang terjejas menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), di waktu mereka memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Perdana Menteri melancarkan Karnival My Pesara KWAP di Padang Akasia, Angsana Mall JB, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed.
Pada 18 Oktober, Perdana Menteri dilaporkan mengarahkan penyaluran segera peruntukan hampir RM600 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir, termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.
Selain itu, peruntukan RM150 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), untuk memulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di bandar yang terkesan banjir, turut diarah disalurkan segera.
Hari ini pula, kerajaan dilaporkan sudah mengagihkan dana banjir sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas di seluruh negara bermula semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata bayaran itu akan disalurkan kepada setiap KIR yang memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dilaporkan berharap pengagihan bantuan berkenaan, terutama bantuan tunai akan dapat diatur gerak dengan sepenuhnya.
Mangsa banjir di seluruh negara dilaporkan meningkat hampir 10,000 dalam tempoh dua jam, menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 130,957 dengan 39,268 keluarga setakat tengah hari tadi.
Kelantan dan Terengganu masih mencatatkan jumlah tertinggi manakala lima lagi negeri, Kedah, Selangor, Perlis, Negeri Sembilan dan Johor turut menunjukkan peningkatan ketara
Di Kelantan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir menunjukkan trend menaik kepada 91,080 orang dengan 288 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di 10 daerah setakat jam 5.00 petang tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.