comscore
Tumpuan :
Nasional

GISBH: Premis di Sabah, Sarawak sudah ditutup, tidak beroperasi

FOTO: NSTP

Oleh Hilmi Abdul Malik

PETALING JAYA: Kesemua premis yang tidak lagi beroperasi dan terkait dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Sabah dan Sarawak akan digeledah dan disita.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh terhadap kesemua agensi yang terlibat dalam pelaksanaan ini.

“Hasil mesyuarat mendapati, kesemua premis-premis yang terlibat dengan GISBH di Sabah dan Sarawak telah ditutup dan tidak beroperasi.

“Justeru polis mencadangkan agar agensi-agensi yang terlibat menagmbil tindakan menggeledah dan menyita premis terlibat di bawah enakmen kesalahan jenayah Syariah dan Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 bagi premis di Sabah.

“Manakala di Sarawak tindakan sama akan dilaksanakan di bawah Seksyen 44 Ordinan Tatacara Jenayah Syariah Sarawak dan Seskyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tan Sri Razarudin berkata, meskipun kesemua premis berkenaan tidak lagi beroperasi namun polis akan tetap melaksanakan pemantauan yang berterusan sehingga individu yang didapati bersalah diheret ke muka pengadilan.

Sementara itu, seramai tujuh lagi individu telah dilanjutkan reman selama lima hari bermula 27 September.

Proses lanjutan reman itu bagi membantu siasatan melibatkan kes mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 10 laporan polis telah diterima susulan kes pekerja GISBH yang tidak dibayar gaji.

Beliau dalam masa sama menyeru mana-mana ahli atau pengikut organisasi berkenaan agar tampil berkongsi maklumat untuk membantu proses siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini