Tumpuan :
Nasional

GISBH: Polis NS buka 12 kertas siasatan, 7 dituduh di mahkamah

Aminuddin ketika membentang Belanjawan 2025 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Ke-15, Jumaat lalu. – FOTO: Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun/ Facebook

SEREMBAN: Polis Kontinjen Negeri Sembilan membuka 12 kertas siasatan terhadap GISB Holdings (GISBH) dengan tujuh daripadanya dituduh di mahkamah.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, lima lagi masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

Beliau menegaskan pihak berkuasa akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap apa jua pelanggaran undang-undang dilakukan pihak GISBH dan juga syarikat yang ada kaitan dengan GISBH.

Beliau menjawab soalan Datuk Bakri Sawir (PH-Klawang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan memutuskan ajaran dibawa pemimpin GISB Holdings (GISBH) sama dengan ajaran al-Arqam dan Rufaqa berkaitan Aurad Muhammadiah yang diharamkan.

Beliau berkata muzakarah September lalu menegaskan ajaran al-Arqam yang diwartakan haram pada 2016 boleh dijadikan asas kepada penguatkuasaan ke atas sebarang usaha untuk menghidupkan kembali ajaran al-Arqam atau seumpamanya walaupun atas nama yang berlainan.

“Jabatan Mufti Negeri Sembilan sentiasa menyebarkan maklumat mengenai kumpulan ajaran sesat yang telah difatwakan melalui program di peringkat daerah,” katanya.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri komited mengambil tindakan berdasarkan peruntukan mengikut Enakmen Syariah ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar apa-apa keputusan fatwa Negeri Sembilan termasuk mengamalkan ajaran “Aurad Muhammadiyah.”

Menurutnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menjalankan pemeriksaan di dua madrasah di bawah pentadbiran GISBH iaitu Madrasah Dinul Hayah Ulu Beting Kuala Pilah dan Madrasah Hayatul Islam Kampung Senama Rembau.

“Hasil pemeriksaan, tindakan penutupan di bawah Seksyen 25C Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) telah dilaksanakan ke atas kedua-dua madrasah terbabit.

“Empat orang yang disyaki (OYDS) telah ditahan dalam pemeriksaan tersebut. OYDS ditahan terdiri daripada Pengerusi dan Mudir Madrasah Dinul Hayah, Ulu Beting, Kuala Pilah,” katanya.

Menteri Besar berkata, penahanan dan siasatan ke atas empat OYDS terbabit dibuat mengikut Seksyen 22 Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) 1996.

Beliau berkata, ia membabitkan kesalahan menubuhkan, menguruskan atau mengendalikan sekolah Islam tanpa Perakuan Pendaftaran.

Katanya, ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 Pindaan 2019 iaitu perbuatan atau ajaran salah yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Seksyen 53 enakmen yang sama iaitu mengajar agama tanpa tauliah memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000,” katanya.

Mengenai program pemulihan akidah, Aminuddin berkata ia bermula sejak 15 Oktober lalu dan mengambil masa tiga bulan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini