comscore
Tumpuan :
Nasional

GISBH: Pandangan hukum ajaran dipersembah kepada Majlis Raja-Raja hari ini, esok

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah membentangkan kajian menimbang dan memutuskan pandangan hukum berkaitan ajaran diamalkan pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kepada Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Ke-125 yang bersidang pada 24 hingga 26 Sept lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata keputusan pandangan hukum berkenaan telah diperkenankan oleh Pengerusi MKI Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan seterusnya akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja yang dijadual bersidang hari ini dan esok.

“Hingga kini, enam negeri telah membuat ketetapan hukum berkaitan GISBH,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang ingin tahu langkah drastik kerajaan untuk menghapuskan Tarekat Aurad Muhamadiyah yang masih diamalkan sedangkan telah difatwakan sesat pada 1994.

Zulkifli berkata berdasarkan pemerhatian JAKIM, Tarekat Aurad Muhamadiyah masih diamalkan pengikut kerana beberapa faktor antaranya pengamalan tarekat secara tersembunyi serta sukar dikesan dan pengaruh bekas pengasas Al-Arqam iaitu Ashaari Muhammad yang masih kuat dalam kalangan pengikut walaupun selepas fatwa dikeluarkan.

Beliau berkata JAKIM akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan akidah dan pegangan umat Islam termasuk ahli GISBH melalui pembudayaan ilmu, pentarbiyahan dan program pengukuhan akidah yang komprehensif dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri.

“Langkah drastik kerajaan untuk menghapuskan tarekat ini ialah menerusi operasi secara bersepadu bersama agensi persekutuan dan agensi negeri termasuk Polis Diraja Malaysia dalam siri Op Global dengan melibatkan perundangan yang berbeza.

“Di peringkat negeri penyelarasan Op Global turut melibatkan penguat kuasa agama negeri-negeri dan melalui Op Global ini banyak bahan bukti terkait akidah diperoleh,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai tindakan susulan selepas Op Global, Zulkifli berkata kerajaan juga sedang memantau beberapa ajaran lain yang didapati berkemungkinan sesat, dengan bantuan kementerian dan agensi berkaitan.

“Kita sedang memantau secara dekat. Ada lapan ajaran di seluruh negara yang kini dipantau secara komprehensif, selain 12 ajaran lagi kita sedang buat risikan dan siasatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah mengaktifkan Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS) yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini