comscore
Tumpuan :
Nasional

GISBH: KPWKM nafi JKM paksa, ugut wanita tandatangan dokumen kosong

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan dakwaan seorang wanita dipaksa dan diugut menandatangani dokumen kosong ketika cuba mendapatkan kembali anaknya.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata wanita itu sebaliknya keliru dengan maksud cuba disampaikan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengendalikan kes terbabit.

Katanya, dokumen berkenaan sebenarnya adalah pemakluman mengenai kanak-kanak yang diselamatkan, selaras Peraturan 18 dengan prosedur pemakluman atau pemberitahuan selari Seksyen 18(2) Akta Kanak-Kanak.

“Menerusi Peraturan 18, memang pegawai (JKM) perlu memaklumkan kami membawa anak mereka (ke tempat selamat) dan ia tidak diperlukan dalam ‘in writing’, hanya dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga.

“Sebenaranya dalam kes ini, pegawai JKM terbabit menyerahkan dokumen untuk memaklumkan pemberitahuan berkenaan. Dokumen itu adalah prosedur pentadbirannya sendiri. Tak perlu ada dokumen pun tak mengapa.

“Tandatangan yang diminta bukanlah bagi pengakuan individu terbabit melakukan sebarang kesalahan untuk dihadapkan ke mahkamah, sebaliknya akuan penerimaan mengenai pemakluman atau pemberitahuan berhubung keadaan anaknya dalam keadaan selamat dibawah perlindungan JKM ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Penerangan Menteri berkenaan Isu Kebajikan Kanak-Kanak Diselamatkan dalam Op Global membabitkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Dewan Rakyat hari ini.

Media baru-baru ini, melaporkan seorang wanita mendakwa pegawai JKM memberi borang kosong dan mengugut beliau menandatangani, kemudian menjadikannya sebagai pengakuan melakukan kesalahan dan dibawa ke mahkamah untuk dijadikan alasan atau sebab untuk JKM mengambil anaknya.

Sementara itu, Nancy berkata, lebih 200 individu direkodkan menghubungi bilik gerakan JKM, sama ada melalui panggilan telefon atau hadir secara fizikal ke pejabat untuk mendapatkan maklumat mengenai kanak-kanak dibawah perlindungan jabatan berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, ibu bapa atau penjaga yang mahu mendapatkan maklumat mengenai anak mereka perlu memberikan butiran, termasuk nombor telefon yang boleh dihubungi serta maklumat anak masing-masing.

Ini kerana, katanya, pegawai pelindung kanak-kanak terbabit akan menghubungi mereka untuk tindakan susulan, termasuk prosedur temu bual, antaranya digunakan untuk penyediaan laporan pelindung yang akan diserahkan ke mahkamah bagi kanak-kanak.

“Ibu bapa yang ingin mengetahui dan mengesahkan keberadaan anak mereka yang berada di bawah perlindungan JKM boleh menghubungi bilik gerakan JKM di talian 0383232190/2191.

“Keperluan mendapatkan butiran daripada mereka yang mengaku sebagai ibu bapa ini perlu kerana ada dalam kalangan kanak-kanak terbabit tidak mengenali ibu bapa mereka.

“Mungkin juga ibu bapa ini dapat mengenal pasti anak mereka dan kita akan cuba untuk menghubungkan ibu bapa berkenaan dengan anak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata, ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit tidak semestinya layak secara automatik untuk mendapatkan hak jagaan ke atas kanak-kanak diselamatkan menerusi Op Global, baru-baru ini.

“Jika mahkamah selepas mempertimbangkan laporan dan fakta lain yang berkaitan, serta berpuas hati dan yakin kanak-kanak itu tidak lagi memerlukan perlindungan JKM dan boleh diserahkan semula kepada ibu bapa mereka, mereka akan disatukan semula dengan ahli keluarganya.

“Namun, perlu diberi perhatian, fakta individu itu adalah ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit tidak semestinya diterjemahkan yang mereka layak secara automatik untuk mendapatkan hak jagaan kanak-kanak terbabit.

“Ini kerana, jika mahkamah berpandangan ibu bapa terbabit tidak sesuai atau layak untuk menjaga kanak-kanak ketika itu, mahkamah boleh mengeluarkan perintah jagaan sementara kepada pihak lain termasuk Orang Yang Layak dan Sesuai,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini