Tumpuan :
Nasional

GISBH: Kanak-kanak ikuti persekolahan selepas kes mahkamah selesai

Fadhlina Sidek ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang, di Dewan Chong Kuang, Sungai Bakap, di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

NIBONG TEBAL: Kanak-kanak yang diselamatkan polis melalui Ops Global tahun lalu dan sedang menghadapi kes berkait Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di mahkamah, akan mengikuti sesi persekolahan baharu sebaik saja proses itu selesai.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya masih mendapatkan dan mengumpul data terperinci berhubung kanak-kanak terbabit.

Beliau menjelaskan, kanak-kanak terbabit sebelum ini mengikuti kelas khas kendalian Kementerian Pendidikan (KPM) di tempat perlindungan ditetapkan, namun dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada kes mahkamah yang dihadapi.

“Sebenarnya dalam perkara ini, kita masih mendapatkan dan mengumpulkan data memandangkan pada sesi lalu, kita hentikan sebentar (kelas khas) untuk mereka kerana meneruskan kes-kes mereka di mahkamah.

“Jadi, sebaik saja selesai proses itu semua (kes mahkamah), saya ingat tidak ada masalah untuk mereka ke sekolah dan meneruskan sesi persekolahan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang, di Dewan Chong Kuang, Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis menyerbu premis berkait GISBH dan menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak serta remaja berusia satu hingga 17 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini