Tumpuan :
Nasional

GISBH: Ibu bapa tiada halangan semak lokasi anak yang dipisahkan

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Ibu bapa kepada kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) boleh mengetahui lokasi anak mereka, menerusi semakan dengan pasukan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Suhaily Mohd Zain berkata, penjagaan anak-anak dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan selepas diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Dari hari pertama kita melancarkan Ops Global, kita sudah war-warkan kepada ibu bapa untuk tampil membantu siasatan, sekiranya terpisah. Boleh datang bertanya, bukan tak boleh.

“Usaha menyelamat kanak-kanak ini dilakukan mengikut prosedur yang mematuhi proses perundangan. Jadi, anak-anak ini diserahkan kepada orang yang betul-betul layak supaya kebajikan anak-anak ini terjaga. Itu sahaja,” katanya.

Tambah Suhaily, pihaknya tiada halangan dengan tindakan undang-undang yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang menentang usaha menyelamat yang dijalankan terhadap kanak-kanak dibawah jagaan GISB Holdings sebelum ini.

Sebelum ini, seramai 96 ibu bapa kepada 174 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB Holdings memohon agar anak mereka dipulangkan semula ke pangkuan keluarga masing-masing berikutan sudah hampir lebih sebulan tidak berjumpa.

Suhaily berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak, diantara Datuk Azizi Mat Aris dengan Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat.

Azizi bersara wajib hari ini, dan jawatannya akan dipangku Zulkafli.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini