![](https://media.buletintv3.my/2025/02/TAN-SRI.jpg)
SHAH ALAM: 731 individu dewasa dan 1,345 kanak-kanak terkait GISB Holdings (GISBH) bersetuju mengikuti Program Insan Rabbani iaitu program pemulihan kelolaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Kesemua individu yang secara sukarela ingin menyertai program berkenaan turut didaftarkan sebagai asnaf Riqab.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia adalah program berpanjangan dan akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun bermula 15 Februari dengan empat fasa.
Beliau berkata, ia akan membabitkan fasa pemulihan (enam bulan), fasa pemantapan dan pengukuhan (enam bulan) dan selepas itu akan dipantau menerusi fasa pasca pemulihan, pemantauan serta khidmat sokongan.
Katanya, proses pemulihan akan menggunakan Modul Istitabah untuk peringkat umur dewasa dan Modul Pendidikan Islam Insani kepada kanak-kanak.
“Di peringkat kerajaan negeri dan agensi, kita sangat serius untuk memastikan mereka tidak pulang ke asal (GISBH).
“Setakat ini yang berdaftar dengan kita di bahagian Ar Riqab adalah lebih 1,300 kanak-kanak bawah 17 tahun dan 700 lebih individu dewasa.
“Mereka ini akan kita bantu untuk pemulihan dan jika mereka tidak hadir pada program, mereka tidak akan dapat bantuan. Kita mengharapkan dengan pemberian bantuan ini, lebih ramai individu yang terkait dengan kumpulan itu tampil secara sukarela,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Barangan Persekolahan kepada 200 anak-anak GISBH di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam di sini, tadi.
Beliau berkata, pendaftaran kepada kepada ahli GISBH boleh dibuat di Bahagian Pemulihan Al-Riqab MAIS yang mana ia akan dilaksanakan sama ada di dalam atau di luar pusat pemulihan.
Jelasnya, pemulihan di dalam pusat dilaksanakan di Pusat Perlindungan Terpilih manakala pemulihan di luar pusat akan dilaksanakan di masjid, sekolah atau mana-mana lokasi yang sesuai.
“MAIS berharap penerimaan positif masyarakat terhadap individu dan anak-anak terkait GISBH terutamanya selepas mereka tamat menyertai program berkenaan.
“Kita tidak mahu mereka rasa terasing..justeru harapan kita, apabila mereka tamat program (pemulihan), masyarakat dapat menerima mereka dengan positif,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 200 kanak-kanak terkait dengan GISBH menerima bantuan wang tunai dan kelengkapan persekolahan.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, kesemua kanak-kanak berkenaan sudah didaftarkan dan akan menyertai sesi persekolahan akan datang.
“Antara syarat pelepasan anak-anak ini (kepada ibu bapa atau penjaga sah) adalah mereka dimasukkan ke sekolah biasa untuk kita integrasikan dalam masyarakat.
“Saya ambil peluang untuk memesan kepada rakyat di luar bahawa kita perlu dampingi mereka dan layan mereka seperti orang lain, bantu mereka kembali ke masyarakat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.