comscore
Tumpuan :
Nasional

GISBH: ‘Tunggu perkenan Majlis Raja-Raja sebelum boleh diumum’ – Mohd Na’im

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) tidak boleh dikongsi kepada umum selagi tidak mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja (MRR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, berkata semua hasil mesyuarat itu termasuk mengenai fahaman disyaki sesat yang cuba didoktrinkan oleh GISBH Holdings (GISBH) perlu dipersembahkan kepada majlis itu.

“Kena tunggu Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada 23 dan 24 Oktober ini. Jadi perincian itu tidak dapat dikongsikan lagi,” katanya kepada BH, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan isu berkaitan doktrin fahaman GISBH akan dibawa sebagai satu daripada isu untuk dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa MKI yang bersidang mulai Selasa hingga semalam.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Datuk Wan Zahidi Wan Teh, Datuk Nooh Gadot dan Mufti negeri.

Sementara itu, Nooh yang juga Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), turut memaklumkan perkara sama namun ia tidak boleh dikongsikan.

“Hasil mesyuarat jawatankuasa sudah dimuktamadkan dan boleh diumumkan selepas ia diperkenankan Majlis Raja-Raja.

“Saya percaya ini akan diumumkan sebaik majlis berkenaan bersidang bulan depan. Jadi perlu tunggu dahulu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini