comscore
Tumpuan :
Nasional

Gerakan JI di negara ini masih terkawal – Saifuddin Nasution

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan gerakan Jemaah Islamiyah (JI) di negara ini masih terkawal.

Beliau berkata ini kerana pihaknya mempunyai pangkalan data mencukupi dalam membantu menguruskan kes seperti insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

“Pangkalan data kita memadai untuk menguruskan insiden sebegini dan kita mempunyai latar belakang mereka yang terlibat dalam apa pun kegiatan atau pernah ditahan di bawah (Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 2012 (SOSMA).

“Pendekatan polis adalah terus berinteraksi dengan mereka bagi memastikan proses rehabilitasi berjalan serta tidak menjadi ancaman kepada masyarakat.

“Alhamdulillah (gerakan) JI ini masih terkawal dan saya percaya pasukan polis mempunyai pengalaman untuk menguruskan (kejadian yang sama di Balai Polis Ulu Tiram) berdasarkan pangkalan data, pola dan corak sesuatu itu berlaku,” katanya.

FOTO: NSTP

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam masa sama, Datuk Seri Saifuddin Nasution menggesa masyarakat sapaya mengelakkan diri daripada menyebarkan sebarang spekulasi manakala media disarankan melaporkan kejadian terbabit berdasarkan fakta yang diberikan polis.

“Saya dapat mengesan sebahagian tulisan (pengamal media) dan (saya) mohon (pihak media) untuk melakukan (menulis) ikut fakta kes tanpa perlu kaitkan insiden ini dengan agama.

“Beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dan (polis) memberi jaminan bahawa ketenteraman serta keselamatan awam adalah keutamaan kami,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 2.45 pagi, dua anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki yang bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, cedera ditembak.

Suspek lelaki berumur 21 tahun yang ditembak mati itu dipercayai ahli JI dan siasatan di rumah suspek di Ulu Tiram membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya berumur 19 hingga 62 tahun.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini