comscore
Tumpuan :
Nasional

Gerakan boikot perniagaan berkaitan Israel, jejas sektor pekerjaan

KUALA LUMPUR: Usaha atau gerakan boikot terutama ke atas perniagaan makanan dan minuman yang didakwa ada kaitan dengan Israel kurang memberi impak terhadap ekonomi negara secara langsung, namun mendatangkan sedikit kesan kepada sektor pekerjaan, kata Kementerian Ekonomi.

Ini berikutan sumbangan subsektor makanan dan minuman kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah kecil iaitu 2.3 peratus pada 2023 dan 2.4 peratus pada suku pertama 2024.

Selain itu, kata kementerian, kecenderungan pengguna untuk beralih kepada produk perniagaan jenama tempatan juga dapat mengimbangi impak berkenaan seterusnya meningkatkan aktiviti ekonomi domestik.

“Meskipun gerakan boikot masih berterusan, Malaysia terus mencatat pertumbuhan ekonomi memberangsangkan iaitu 4.2 peratus pada suku pertama 2024 yang disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang berdaya tahan,” kata kementerian berkenaan dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web rasmi Parlimen pada Selasa.

Bagaimanapun, Kementerian Ekonomi berkata wujud peningkatan dari segi jumlah pekerja yang kehilangan kerja berdasarkan Laporan Employment Insurance System oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bagi tempoh Januari-Mei 2024, seramai 22,315 pekerja telah kehilangan pekerjaan berbanding 18,026 untuk tempoh sama pada 2023 yang membabitkan peningkatan sebanyak 23.8 peratus.

Daripada jumlah ini, sebanyak 1,091 pekerja atau 4.9 peratus adalah bagi pekerja sektor penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan.

Kementerian itu berkata sebanyak 583 pekerja atau 50.7 peratus kehilangan pekerjaan yang dilaporkan pula berpunca daripada penutupan dan pengecilan saiz perniagaan.

“Data kehilangan pekerjaan ini adalah secara umum serta tidak menjurus kepada sektor makanan dan minuman sahaja,” katanya.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini