KUALA LUMPUR: Gerai penjaja di sekitar Jalan Masjid India akan dinaik taraf secara berfasa sebagai usaha berterusan meningkatkan kebersihan dan daya tarikan di kawasan tersebut.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, inisiatif yang dikenali sebagai program Lestari Niaga itu akan dilaksanakan bagi memastikan ia tidak mengganggu aktiviti perniagaan sedia ada.
“Di kawasan Jalan Masjid India, ada beberapa kategori lokasi perniagaan, antaranya adalah pusat penjaja berbumbung seperti di Jalan Melayu, Medan Bunus, Segi 3 Bunus serta ruang tepi jalan di sekitar kawasan Masjid India.
“Antara projek utama yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ialah penyusunan semula peniaga di Jalan Melayu serta penyediaan gerai baharu yang lebih sistematik untuk para penjaja di lokasi terbabit.
“Bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada penyediaan lokasi perniagaan sementara untuk para peniaga yang terbabit bagi memastikan kelangsungan aktiviti perniagaan mereka semasa kerja-kerja naik taraf dijalankan,” kata DBKL dalam satu kenyataan.
Sementara itu, DBKL juga berkata selepas kerja naik taraf selesai, kawasan gerai penjaja di sekitar Jalan Melayu dan Jalan Masjid India akan tampil dengan wajah baharu yang lebih menarik, bersih, dan teratur.
“Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan keindahan ruang bandar, menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong, serta memberi manfaat kepada peniaga dan komuniti setempat,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, DBKL akan memantau pelaksanaan projek terbabit dengan teliti dan bekerjasama rapat dengan semua pihak terlibat untuk memastikan matlamat pembangunan tercapai.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan melalui DBKL untuk meninjau kawasan perniagaan yang memerlukan penambahbaikan di Jalan Masjid India.
“Ada kedai yang rosak, ada yang teruk (keadaannya). Saya minta DBKL, Kementerian Wilayah Persekutuan lihat dan segerakan (baik pulih). Ini kawasan tumpuan ramai,” katanya selepas melakukan tinjauan di kawasan tersebut Jumaat lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.