comscore
Tumpuan :
Nasional

Gerai “Mok Marah Jual Mahal” menyediakan pulut percuma

KUANTAN: Menjual sambil bersedekah!

Itu yang diamalkan peniaga durian Mohd Kamarul Hafsan, 37, yang membuka gerai jualan durian terletak di tepi Jalan Gambang-Kuantan dekat Batu Tiga di sini.

“Sambil menjual durian, saya juga bersedekah dengan menyediakan 90 kilogram(kg) pulut untuk dimakan dengan pelbagai jenis durian,” kata Mohd Kamarul.

Menurutnya, dia menyediakan pulut percuma kepada pelanggan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Sebanyak 30kg pulut bersama santan, gula putih dan nisan kerek yang dipotong kecil disediakan setiap hari bermula 6 petang.

Foto : NSTP

Katanya, kebanyakan pelanggan makan pulut dengan durian yang digaul dengan santan, hidangan berkenaan sememangnya terkenal di Pantai Timur terutama setiap kali musim durian.

“Ini tahun pertama saya menyediakan pulut percuma kepada pelanggan yang berkunjung ke gerai jualan durian terletak ditepi Jalan Gambang-Kuantan dekat Batu Tiga yang memasuki musim ke-5 saya berniaga di situ.

“Saya menyediakan pulut percuma sebagai cara sedekah kepada pelanggan yang berkunjung ke gerai ‘Mok marah jual mahal’, selepas membeli pelbagai jenis durian mereka boleh duduk sebentar sambil makan durian dengan pulut di tempat menjamu selera yang disediakan.

“Sambil berniaga durian kampung termasuk klon seperti Musang King, Kunyit, Udang Merah, IOI, Kasak Merah dan Tupai King pada harga berpatutan,saya berharap pahala diterima dengan cara menyediakan hidangan istimewa pulut santan,” katanya.

Beliau berkata, dia ingin kongsi rezeki hasil jualan durian dengan pelanggan yang datang ke gerai ‘Mok marah jual mahal’, hidangan percuma yang disediakan setiap minggu itu tidak mungkin menjejaskan pendapatannya sebaliknya dapat menambahkan lagi rezekinya sebagai peniaga.

Mohd Kamarul menambah, dia menjual durian Musang King gred A dengan harga antara RM20 hingga RM30kg, musim durian kali ini harga raja buah itu jatuh berbanding sebelum ini.

Pengemar durian boleh menikmati pelbagai durian klon pada harga berpatutan sebaliknya tidak lagi harga kayangan.

Katanya, tahun ini pengeluaran durian dijangka berlaku selama tiga bulan bermula Jun, faktor berkenaan memberi peluang kepada pengemar raja buah itu menikmati buah berkenaan secara berterusan selain harga yang lebih rendah.

“Kini setiap hari saya mendapat bekalan durian dari Johor dan Maran, selepas ini beberapa daerah di Pahang yang menjadi pengeluar utama raja buah terutama Raub, Jerantut, Bentong dan Lipis akan mengeluarkan durian kampung dan klon.

“Disebabkan harga ladang yang rendah dan pengeluaran serentak serta tidak dapat mengeksport durian membolehkan saya menjual raja buah itu pada harga lebih rendah antara RM6 hingga RM30kg,” katanya yang setiap hari menjual lebih tiga tan durian.

Pengunjung gerai ini, Mohd Faizal Amry Mohd Haramin, 36, berkata ini kali pertama dia melihat gerai menjual durian yang menyediakan hidangan pulut secara percuma kepada pelanggan.

“Selepas membeli durian pelanggan berpeluang makan pulut dan santan bersama durian yang mereka beli, hidangan berkenaan dianggap istimewa pada masyarakat Pantai Timur.

“Lebih sedap dan istimewa lagi apabila dapat makan pulut dengan durian klon seperti Musang King, IOI, Udang Merah dan Tupai King,” katanya yang kali pertama berkunjung di ‘Mok marah jual mahal’ terletak di Jalan Gambang-Kuantan dekat Batu Tiga.

Loading...
Terkini