Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Sebuah gerai kraftangan hampir ranap manakala sebuah kereta rosak teruk dihempap pokok yang tumbang dalam kejadian hujan lebat serta angin kencang, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, bumbung sebuah gerai kraftangan yang beroperasi di Taman Botanikal, Ayer Keroh, runtuh akibat di hempap pokok.
Kejadian itu mendapat perhatian Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datin Sapiah Haron yang turun meninjau keadaan gerai terbabit
Kejadian ribut itu mengakibatkan sebuah kereta dihempap sebatang pokok yang tumbang dipukul angin kencang di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel di sini.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pokok tumbang di dua lokasi terbabit.
Sementara itu, beberapa laluan di sekitar daerah Melaka Tengah terhalang akibat kejadian pokok tumbang dalam kejadian ribut berkenaan.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II, Salwani Ho Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung pokok tumbang yang merentangi jalan di hadapan Taman Seribu Bunga, Gapam di sini pada jam 5.15 petang.
Katanya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil bersama tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati sebatang pokok telah tumbang dan menghalang jalan raya.
“Pasukan bomba bertindak melakukan kerja-kerja memotong pokok yang tumbang itu menggunakan mesin pemotong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Salwani, tiada pengguna jalan raya mengalami kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kejadian terbabit.
Tambahnya, kerja-kerja pemotongan pokok terbabit selesai pada jam 5.33 petang.