comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Gerai belacan musnah dirempuh kereta, dua beranak cedera tersepit

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Dua beranak cedera akibat tersepit apabila gerai belacan dan cencaluk milik mereka rosak teruk dirempuh sebuah kereta di Jalan Klebang Besar, Kampung Pinang Batang Tiga, Lereh di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa, Junaidah Maarof, 45, dan anaknya Rabiatul Adawiyah Abu Bakar, 23, masing-masing cedera di kepala dan kaki selepas tersepit antara kereta dan rak besi jualan barangan premis itu.

Suami Junaidah iaitu Abu Bakar Abd Aziz, 54, bagaimanapun terselamat daripada rempuhan itu kerana berada di kaki lima kedai dan sedang berbual bersama isteri dan anak perempuan yang berada di dalam.

“Ketika kami sedang berbual, tiba-tiba dalam sekelip mata datang sebuah kereta dari arah pusat bandar merempuh gerai belacan kami menyebabkan anak dan isteri terperangkap di dalam.

“Dalam keadaan kelam kabut itu, saya menerpa ke arah isteri dan anak apabila terdengar jeritan meminta tolong sebelum mendapati kakinya tersepit antara kereta dan rak jualan,” katanya ketika ditemui di premis itu hari ini.

Abu Bakar memberitahu, dia mengambil masa hampir 15 minit untuk menyelamatkan isteri dan anaknya yang cedera sebelum kedua-dua mereka dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pemilik gerai, Abu Bakar Abd Aziz.

“Kebetulan pula pada waktu kejadian ada jentera bomba melalui kawasan ini dan terus menghulurkan bantuan.

“Pada masa sama, saya terdengar jeritan pemandu lelaki dan penumpang wanita berusia sekitar 20-an yang kemudian dikejarkan ke hospital,” katanya.

Kejadian itu tambahnya, adalah kali pertama berlaku sepanjang 20 tahun mengusahakan jualan belacan, cencaluk dan kuih muih tempatan di tepi laluan berkenaan.

Akibat kejadian itu, dia kerugian lebih RM20,000 apabila dua motosikal yang diletakkan di hadapan kedai turut rosak disebabkan rempuhan kereta terbabit.

Loading...
Terkini