TAIPING: Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan dikenali “Geng Takim” yang aktif melakukan kegiatan pecah premis dan curi kenderaan sekitar Taiping sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, tiga individu termasuk seorang wanita ditahan kira-kira jam 1.30 pagi, 7 Oktober lalu di sebuah rumah di Changkat Jering, dekat sini.
“Ketika penahanan dilakukan, kita juga berjaya merampas beberapa peralatan seperti besi kuku kambing, tukul besi, pemotong besi dan pemutar skru yang dipercayai peralatan untuk melakukan pecah rumah, pecah pejabat sekolah, pecah kedai runcit dan mencuri kenderaan.
“Hasil daripada tangkapan tersebut, pihak polis juga telah berjaya menemukan kembali barang yang dicuri antaranya laptop milik sekolah, tab, mesin enjin generator dan tong gas.
“Polis telah berjaya membuat rampasan ke atas kenderaan curi iaitu sebuah lori satu tan dan sebuah motosikal skuter jenama vario di lokasi berasingan,” katanya.
Kumpulan itu menggunakan modus operandi melakukan rondaan meninjau di premis yang tidak berpenghuni pada waktu malam, membunyikan loceng sebelum memecah masuk.
Kesemua suspek juga kataya mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah dan dadah.
Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan lebih RM60,000.
Kesemua suspek yang berusia diantara 21 hingga 35 tahun itu direman dan masih dalam tahanan polis bagi membantu mengesan lain-lain barang kes yang dicuri.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.