comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Geng Ninja Turtle’ – Sindiket penyeludup kura-kura paling licik, tumpas

Kura-kura seludup spesies Three-Keeled Land Tortoise dan Indian Star Tortoise yang dirampas.

KUALA LUMPUR: Geng Ninja Turtle – Satu sindiket penyeludupan kura-kura antarabangsa paling licik dan terbesar di Asia Tenggara ditumpaskan pihak berkuasa Malaysia.

Sindiket didalangi beberapa warga tempatan itu mampu mengaut keuntungan sehingga berjuta ringgit hanya melalui kegiatan menjual pelbagai spesies kura-kura dilindungi di pasaran gelap.

Setiap ekor kura-kura mampu dijual mencecah antara RM2,000 hingga RM13,000 seekor berdasarkan kesukaran spesies diperolehi, corak fizikal dan saiz.

Sindiket itu yang menjadi buruan sejak beberapa tahun lalu akhirnya berjaya ditumpas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia hasil risikan dilakukan.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi membenteras jenayah pemerdagangan haiwan liar dilindungi itu turut dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).

Katanya, dalam operasi jam 1 pagi, Sabtu lalu, sepasukan pegawai Wildlife Crime Unit (WCU) Perhilitan diketuai Celescoriano Razond serta anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Taman Subang Mewah, Selangor.

Keadaan kenderaan yang terbabas ketika dinaiki lelaki tempatan yang cuba melarikan diri.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan Perhilitan dan PGA mendapati seorang lelaki sedang masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda.

“Lelaki itu yang cuba disoal siasat bagaimana melarikan diri dengan memandu secara berbahaya sehingga terbabas dan melanggar tiang elektrik,” katanya.

Menurutnya, lelaki tempatan berusia 40-an itu kemudian berjaya ditahan sebelum dia membawa pegawai Perhilitan ke premis berhampiran.

“Ketika itu seorang wanita berusia 40-an membuka pintu premis berkenaan dan mendakwa sebagai pekerja di bangunan itu.

Ratusan kura-kura seludup yang disimpan di di Taman Subang Mewah, Selangor.

“Dia mendakwa dipertanggungjawabkan untuk menjaga kura-kura di premis berkenaan. Hasil pemeriksaan di premis itu mendapati ia dijadikan markas untuk menyimpan beratus ekor kura-kura diseludup dari luar negara.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 361 ekor kura-kura seludup membabitkan spesies Three-Keeled Land Tortoise dan Indian Star Tortoise disimpan di premis itu.

“Ia membabitkan 188 spesies Three-Keeled Land Tortoise berasal dari Bangladesh dan 173 Indian Star Tortoise berasal dari India, Pakistan dan Sri Lanka.

“Semua kura-kura itu yang disimpan di dalam kotak fiber dipercayai mahu dipasarkan di negara ini. Suspek yang disoal siasat gagal mengemukakan lesen atau permit daripada Perhilitan bagi menyimpan hidupan liar itu.

“Susulan itu semua kura-kura dan kenderaan dianggarkan bernilai RM3.8 juta dirampas,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian ditahan dan siasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

Difahamkan suspek mempunyai jaringan dan rangkaian sindiket penyeludupan haiwan liar dilindungi di peringkat antarabangsa dan diletakkan di bawah pemantauan Perhilitan.

“Kami percaya terdapat ramai dari anggota dan saki- baki sindiket yang terbabit dengan aktiviti haram ini.

“Rampasan kura-kura ini dianggap kejayaan dan rampasan terbesar Perhilitan sejak Januari lalu. Pihak Perhilitan akan terus menggiatkan usaha tahun ini bagi memberkas seramai mungkin petualang yang melakukan pemerdagangan hidupan liar secara haram,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini