comscore
Tumpuan :
Nasional

Geng Meot curi kenderaan tumpas, 3 lelaki ditahan

Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Tiga ahli kumpulan Geng Meot yang menjadikan kegiatan mencuri kenderaan sebagai ‘sumber pendapatan’ untuk menampung hidup, ditahan dalam lima serbuan berasingan.

Mereka ditahan dalam operasi Op Lejang bermula 12.30 tengah malam, 30 September lalu hingga 5.30 pagi, 1 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, penahanan susulan laporan sebelum ini yang diterima daripada lelaki, 75, mendakwa keretanya yang diparkir di hotel di Mount Austin di sini, pada 7.30 petang, 29 Ogos lalu telah hilang.

Katanya, lelaki itu membuat laporan pada 11.41 pagi, 30 Ogos lalu dan serbuan pertama dibuat di kawasan Taman Johor Jaya dan empat lagi di kawasan Kota Tinggi.

“Serbuan pertama menahan lelaki tempatan berusia 44 tahun dan merampas sebuah Perodua Kancil putih dan kunci bertulisan Perodua.

“Serbuan kedua dan seterusnya, pasukan menahan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 41 tahun, serta merampas dua kereta Honda Accord bersama serangkao kunci dan ‘allen key’ yang diubah suai menjadi tajam,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini, hari ini.

Raub berkata, turut dirampas, sebuah kenderaan Nissan Cefiro dan sebuah kereta jenis Toyota Corolla dan hasil semakan mendapati semua lima kenderaan dirampas itu pernah dilaporkan hilang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati modus operandi kumpulan itu adalah menumpu kepada kenderaan lama di sekitar bandar raya ini dengan cara merosakkan pintu untuk masuk.

“Suspek kemudian akan menghidupkan enjin kenderaan dengan menggunakan ‘allen key’ yang diubah suai menjadi tajam.

“Ketiga-tiga suspek mengaku melakukan kegiatan mencuri kenderaan untuk kegunaan sendiri dan menampung kehidupan harian,” katanya.

Raub berkata, suspek pertama mempunyai 20 rekod kesalahan lampau membabitkan kes curi kenderaan dan penyalahgunaan dadah serta individu dikehendaki polis.

Sementara itu, suspek kedua mempunyai 21 rekod jenayah curi kenderaan dan penyalahgunaan dadah dan suspek ketiga mempunyai 25 rekod kesalahan serta dikehendaki polis.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing suspek mendapati mereka positif dadah dan penahanan itu menyelesaikan lima kes curi kenderaan sekitar daerah ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini