KUCHING: Dua kumpulan penjenayah yang aktif di sini iaitu Geng Mar dan Geng Debu tumpas apabila polis menangkap ahli-ahlinya.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata bagi Geng Mar, kumpulan yang didalangi empat lelaki tempatan berumur antara 24 hingga 33 tahun itu ditangkap pada 16 Jun lalu.
“Kumpulan ini aktif menyamun secara berkumpulan menggunakan senjata yang menyasarkan premis-premis 24 jam di sekitar daerah ini,” katanya pada sidang media di IPD Kuching, di sini hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata kesemua suspek ditangkap di lokasi berasingan iaitu Jalan Merdeka, Petra Jaya, Samariang, Tabuan Jaya dan sekitar bandar raya ini oleh Cawangan D9, Siasatan Khas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Justeru, beliau berkata dengan tertangkapnya ahli kumpulan berkenaan, pihaknya telah menyelesaikan empat kes samun yang dilaporkan di daerah ini dengan anggaran kerugian keseluruhan sejumlah RM4,000.
Ahsmon berkata kesemua suspek juga didapati mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah, dengan tiga daripada mereka turut didapati positif Methamphetamine dan seorang positif dadah jenis ganja.
Katanya kesemua suspek direman selama lima hari sehingga 23 Jun ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Manakala bagi Geng Debu, Ahsmon berkata tiga ahlinya yang berumur 18 hingga 25 tahun ditangkap 16 Jun lalu oleh pasukan Counter Agressive Team IPD Kuching dan Rondaan Cegah Jenayah Balai Polis Sungai Maong.
Katanya dua daripada suspek ditangkap pada jam 5.10 pagi di kawasan perumahan di Stampin Tengah manakala seorang lagi dicekup di sebuah rumah di kawasan Stutong pada jam 8.30 pagi.
“Dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis percaya telah menyelesaikan 10 kes pecah rumah dan curi di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata dua daripada suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan ketiga-tiganya juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
Katanya kesemua suspek direman selama empat hari sehingga hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.