Tumpuan :
Nasional

Geng basikal lajak didenda ketuk ketampi tarik perhatian warga net

Satu rakaman video tular di media sosial memaparkan sekumpulan remaja dipercayai bawah umur dikenakan ‘hukuman’ ketuk ketampi oleh anggota polis trafik. – Foto tular

KUALA LUMPUR: Satu rakaman video yang tular di media sosial memaparkan sekumpulan remaja dipercayai bawah umur dikenakan ‘hukuman’ ketuk ketampi oleh anggota polis trafik menarik perhatian warga net.

Menerusi rakaman video yang tular, kelihatan lebih 20 remaja lelaki disuruh melakukan ketuk ketampi dengan diperhatikan oleh beberapa anggota polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagaimanapun lokasi sebenar kejadian itu tidak dapat dipastikan namun dipercayai berlaku di ibu kota berdasarkan latar belakang dalam rakaman video berkenaan.

Mereka dipercayai ditahan anggota polis trafik kerana menunggang basikal lajak di sekitar ibu kota kerana turut kelihatan barisan basikal lajak disusun di belakang mereka.

Situasi yang jarang berlaku itu turut diambil kesempatan oleh orang ramai yang berada berhampiran untuk turut sama menonton serta merakam momen berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, pula kebanyakan warga net menyokong tindakan anggota polis trafik memberikan denda yang sedemikian sebagai pengajaran selain menyifatkan denda berkenaan sebagai ‘hukuman yang comel’.

Menerusi ruangan komen, seorang pengguna Instagram, hj_hannahh menulis “Comel je denda dari polis pun. Nak saman kesian, budak-budak.”

Ismaliza Ismail pula menulis “Ha merayap lagi malam-malam. Semoga jadi anak-anak yang baik berjaya dunia dan akhirat #tapicomeysangat.”

“Takpe dik, kenangan ni. Jadikan ia satu hal yang boleh mengubah awak lebih baik lepas ini,” kata Puan Maz.

“Hah kan dah kena🤣, comel pulak kena macam tu,” kata Noor Erni Shakila Salim.

Sementara itu, Sidah Rosidah pula menulis: “Polis memang terbaik, dah macam ayah dengan anak atau cikgu kepada anak-anak murid. Semoga anak-anak muda ini sentiasa dijauhi dari bahaya.”

Menjelang sambutan ambang tahun baharu 2025 di ibu negara, malam tadi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dan JPJ menjalankan operasi dan pemantauan trafik bersama di sekitar ibu kota sehingga awal pagi.

Operasi dijalankan bagi membanteras kegiatan lumba haram dan samseng jalanan serta aktiviti yang menyalahi undang-undang lalu lintas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini