Tumpuan :
Nasional

Geng Atan tumpas, akan didakwa di mahkamah esok

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar. – Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Geng pecah rumah dan curi kenderaan yang dikenali sebagai Geng Atan berjaya ditumpaskan polis dalam Op Pintu/Lejang, bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, geng yang bergiat aktif dalam kes pecah rumah serta curi kenderaan di negeri ini ditahan dalam serbuan di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini.

“Hasil risikan dan maklumat awam, kita melancarkan Op Pintu/Lejang pada 11 Disember tahun lalu dan berjaya menumpaskan Geng Atan dan seramai empat lelaki warga tempatan berusia antara 41 tahun hingga 52 tahun berjaya ditangkap.

“Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa telefon bimbit, beg tangan berjenama, jam tangan dan barangan elektrik dipercayai milik mangsa.

“Selain itu, pelbagai peralatan pecah rumah seperti ‘allen key’, sarung tangan, topeng muka dan tiga kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian jenayah itu turut dirampas,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Geng Atan itu dipercayai bergiat aktif sejak 2011 dengan modus operandi memecah masuk rumah yang tidak berpenghuni dengan cara mengumpil pintu ‘sliding’ sebelum menggeledah dan melarikan barangan berharga termasuk kenderaan milik mangsa.

Katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati setiap suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, dengan suspek pertama 15 rekod, suspek kedua (64), suspek ketiga (25) dan suspek keempat (29).

“Hasil ujian saringan awal air kencing pula mendapati keempat-empat suspek positif methamphetamine,” jelasnya.

Menurut Kumar, dengan tangkapan itu, sebanyak 19 kes pecah rumah serta curi kenderaan yang dilaporkan berlaku tahun lalu di beberapa daerah di negeri ini seperti Johor Bahru, Pontian, Muar, Tangkak dan Kota Tinggi berjaya diselesaikan.

Kumar berkata, kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa

Raya dan menerima arahan untuk membuat satu pertuduhan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah atau pecah rumah pada waktu malam.

Selain itu, kertas siasatan atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana menolong menyembunyikan harta curi.

“Kita juga akan mendakwa geng ini dengan 10 pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta curi, satu pertuduhan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberikan penjelasan pemilikan barang curi atau diperolehi secara fraud dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan berulang bagi penagih dadah.

“Keempat-empat suspek kini ditahan reman dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok sebelum dibawa untuk pendakwaan di Mahkamah Pontian dan Muar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini