Oleh : Amirulhakim Lokman
KUALA LUMPUR : Generasi muda wajar mencontohi ketegasan dan integriti tinggi dipamerkan mantan Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman dalam memimpin negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua sifat berkenaan perlu tersemat di dalam jiwa golongan itu kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab penting untuk menyelamatkan negara.
“Aspek ini, perkara ini dari negarawan Tun Dr Ismail yang perlu kita pelajari, termasuklah integriti Tun di dalam berpolitik, penting untuk anak muda terpahat dengan prinsip yang sama untuk tangani kebejatan sosial, tentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dengan tatakelola yang baik.
“Perkara ini perlu hidup dalam negara kita, negara akan selamat jika ada integriti, kerana apa, orang tahu kita tidak boleh dibeli, tidak makan pujuk rayu, wang dan harta,” katanya dalam ucapan pada Majlis Memperingati Negarawan Allahyarham Tun Dr Ismail
Al-Haj, Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka, di sini.
Tambah beliau, perkara itu juga perlu dipupuk dalam budaya politik negara ketika ini sekaligus memiliki dasar yang jelas serta prinsip yang sama untuk membangunkan negara.