Oleh: Haliza Hashim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru generasi muda Malaysia untuk berani menolak rasuah, perkauman, dan ekstremisme agama, demi membina negara yang berintegriti dan maju.
“Dalam konsep MADANI, kami tidak bertolak ansur. Mungkin berbeza pada kes dahulu tetapi sejak dua tahun dalam pentadbiran (kerajaan), rakan-rakan (Kabinet) saya ada di sini.
“Kami tidak bertolak ansur tentang isu seperti rasuah, pemimpin memboroskan kekayaan, tidak kira ia gabungan yang sama atau tidak,” katanya. ketika menyampaikan syarahan di London School of Economics (LSE) sempena lawatan kerja lima hari ke United Kingdom.
Beliau turut menyatakan bahawa kelemahan tadbir urus dan ketamakan sebelum ini telah menghalang potensi Malaysia untuk berkembang, menyebabkan negara kehilangan banyak peluang.
Sebagai langkah memajukan ekonomi negara, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelancaran Taman Reka Bentuk Cip Kedua untuk memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia dalam rantaian bekalan semi-konduktor global.
Katanya, meskipun Perlembagaan menjamin hak majoriti Muslim, Melayu, dan Bumiputera, terdapat pihak yang menyalahgunakan dasar berasaskan kaum untuk menghina dan menimbulkan kebencian terhadap kaum lain.
“Saya akan tegas dalam hal ini. Mereka boleh mengkritik saya kerana dasar saya tetapi tidak boleh menggunakan isu kaum dan agama,” ujarnya.
Syarahan di LSE itu dihadiri kira-kira 500 pelajar dan pensyarah, termasuk pelajar Malaysia yang menuntut di LSE.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.