Tumpuan :
Nasional

Generasi muda ejen perubahan paling berkesan kecekapan tenaga – Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hadir ke Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Cabaran Kecekapan Tenaga (EE Challenge) 2024 di Putrajaya.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Usaha meningkatkan kecekapan tenaga tidak hanya bergantung kepada dasar dan teknologi semata-mata.

Sebaliknya, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, ia memerlukan penglibatan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat terutama generasi muda.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) yang diluluskan pada 25 Jun lalu adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh kawal selia penggunaan tenaga secara cekap serta mampan.

“Bagaimanapun, kejayaan inisiatif ini amat bergantung kepada perubahan sikap dan kesedaran masyarakat termasuk generasi muda. Generasi muda merupakan pemangkin bagi melaksanakan aspirasi negara ke arah peralihan tenaga.

“Pembudayaan amalan kecekapan tenaga ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan pelepasan karbon serta kesan perubahan iklim terhadap negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Cabaran Kecekapan Tenaga (EE Challenge) 2024.

Tambahnya, kesedaran mengenai kecekapan tenaga amat penting diterapkan sejak di bangku sekolah kerana generasi muda adalah ejen perubahan yang paling berkesan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Pertandingan EE Challenge adalah antara platform terbaik untuk mendidik pelajar mengenai amalan kecekapan tenaga.

Ujarnya, ia bukan sahaja menggalakkan kreativiti tetapi membina rasa tanggungjawab terhadap penggunaan tenaga secara cekap dan memupuk sikap cakna akan alam sekitar.

“Saya percaya, jika nilai-nilai yang dipelajari melalui pertandingan ini dipraktikkan secara konsisten, generasi muda kita akan menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih prihatin terhadap tenaga dan kelestarian,” katanya.

Berdasarkan analisis laporan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Tenaga, sekolah yang menyertai kategori Sekolah Paling EE pada tahun ini mencatat penjimatan penggunaan elektrik sebanyak 53,014 kilowatt jam (kWj) iaitu bersamaan nilai RM28,400.

Menurut Fadillah, penjimatan tenaga terkumpul sepanjang 11 tahun penganjuran pertandingan berkenaan adalah sebanyak 1,568,025 kWj bersamaan nilai RM840,446 dengan 1,207 tan karbon dioksida dihindarkan.

“Hasil penjimatan terkumpul ini juga dapat menggalakkan pertumbuhan sebanyak 18,113 batang anak pokok selama tempoh 10 tahun,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini