Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Perjanjian gencatan senjata di Lubnan disifatkan sebagai usaha awal yang penting ke arah mengurangkan ketegangan dan mengembalikan keamanan serta kestabilan di Asia Barat.
Menyambut baik perkembangan positif itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Malaysia menggesa semua pihak untuk menghormati dan mematuhi syarat gencatan senjata berkenaan.
“Malaysia mengulangi gesaan untuk semua pihak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan.
“Ini termasuk Resolusi 1701 (2006), perlindungan ke atas orang awam dan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada rakyat Lubnan yang telah menderita akibat konflik yang berpanjangan,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Malaysia mahu gencatan senjata pada kadar segera dan kekal di Gaza dilaksanakan termasuk memulihkan semula akses tanpa sekatan kepada bantuan kemanusiaan.
Menurut Wisma Putra, keamanan di Asia Barat hanya akan dicapai apabila wujudnya Palestin yang merdeka, bebas dan berdaulat.
Sebelum ini, media melaporkan, Israel dan Lubnan telah menerima perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan pertempuran dengan kumpulan pejuang Hizbullah berkuat kuasa pada Rabu, 4 pagi (waktu tempatan) selama 60 hari.
Di bawah perjanjian itu, Israel perlu mengundurkan semua tentera rejim secara beransur-ansur dari selatan Lubnan dalam tempoh 60 hari tersebut.
Hizbullah pula akan menamatkan kehadiran ketenteraannya di kawasan sempadan di selatan Sungai Litani.
Tentera Lubnan pula bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan selatan Lubnan.
Pada masa sama, Amerika Syarikat (AS) akan memainkan peranan dalam membangunkan semula infrastuktur di Lubnan yang musnah akibat serangan Israel.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.