KUALA LUMPUR: Gencatan senjata antara Hamas dan Israel di Gaza harus menjadi batu loncatan ke arah matlamat yang telah lama diusahakan, iaitu penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaya maju, berdaulat dan merdeka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu masyarakat antarabangsa perlu memastikan perjanjian berkenaan dipatuhi, sekali gus membuka jalan untuk rundingan fasa seterusnya yang akan membawa kepada keamanan berpanjangan serta pembinaan semula Gaza.
Tambahnya, kerjasama dan sokongan daripada rakan-rakan di Asia Timur juga akan menjadi kunci utama bagi memastikan proses pembinaan semula Gaza berjalan dengan pantas dan berkesan.
“Saya akan menghubungi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, untuk mempercepatkan pelaksanaan pelan pembinaan semula Palestin yang telah dipersetujui semasa lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini,” katanya dalam laman sosial Facebook.
Beliau yang menyambut baik pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza yang dijadualkan berkuat kuasa pada hari Ahad ini menyifatkan ia adalah satu langkah penting dalam memberikan kelegaan yang sangat diperlukan untuk rakyat Gaza yang telah menanggung penderitaan yang amat berat.
“Saya menghargai usaha Mesir, Qatar, dan Amerika Syarikat dalam menjadi perantara perjanjian ini. Saya juga memuji Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Donald Trump, atas peranannya dalam merealisasikan rundingan ini,” katanya lagi.
Ujarnya, keadilan dan akauntabiliti terhadap tindakan yang berlaku sepanjang konflik itu tetap menjadi keutamaan.
Tegasnya, keamanan yang adil dan berkekalan hanya dapat dicapai dengan menangani punca utama konflik berkenaan dan adalah penting untuk mengakui bahawa kehilangan lebih 46,700 nyawa rakyat Palestin serta perpindahan lebih dua juta orang tidak boleh dan tidak sepatutnya dilupakan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.