comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Genap 47 tahun Tragedi Double Six

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Genap 47 tahun, upacara memperingati Tragedi Double Six diadakan di Tugu Peringatan Double Six di Sembulan, Kota Kinabalu hari ini.

Peristiwa 6 Jun 1976 ketika itu yang pernah menggemparkan seluruh rakyat Sabah khususnya dan Malaysia amnya akan terus dikenang dan menjadi sejarah hitam negara yang juga merupakan khazanah rakyat Sabah yang harus dipelihara dan terus diingati.

Upacara dimulakan dengan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormatan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, (DBKK).

Tetamu kehormat  dan wakil keluarga mangsa bertafakur selama 1 minit pada upacara memperingati Tragedi Double Six diadakan di Tugu Peringatan Double Six di Sembulan, Kota Kinabalu hari ini.

Kesemua tetamu yang hadir kemudian bertafakur selama satu minit sebelum upacara meletakkan kalungan bunga didahului Datuk Seri Jeffrey dan disusuli wakil keluarga mangsa Tragedi Double Six.

Tugu ini dibina pada 1977 iaitu setahun selepas nahas pesawat yang mengorbankan 11 individu termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Mohd Fuad Stephens pada 6 Jun 1976.

Tragedi itu telah menggemparkan penduduk di sekitar Kota Kinabalu apabila dikejutkan dengan satu bunyi dentuman kuat kira-kira jam 3.50 petang akibat daripada sebuah kapal jenis GAT Nomad yang terhempas di Sembulan.

Kejadian yang juga dikenali sebagai Tragedi Double Six kerana tarikhnya berlaku pada 6 Jun di mana pesawat yang dikendalikan Sabah Air bertolak dari Labuan ke Kota Kinabalu terhempas ketika melalui Sembulan.

Pesawat ini membawa hampir kesemua ahli kabinet Sabah daripada kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya).

Antara yang turut terkorban Menteri Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Peter Mojuntin; Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Datuk Chong Thien Vun; Menteri Kewangan Negeri, Datuk Salleh Sulong dan Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri, Darius Binion.

Dalam kejadian itu, Menteri Kewangan ketika itu,Tengku Razaleigh Hamzah sepatutnya turut menaiki pesawat sama, namun pada saat akhir beliau tidak menaiki pesawat itu kerana diajak untuk merasmikan projek ladang lembu di Pulau Banggi, Kudat.

Loading...
Terkini